Bertih jagung sangat sinonim sebagai makanan atau snek yang sesuai untuk dimakan dan dinikmati sewaktu menonton drama atau filem bersama keluarga dan rakan.
Hal ini kerana, ia menawarkan rasa yang pelbagai iaitu, masin, lemak dan juga manis selain menampilkan saiz yang kecil sekaligus menjadikannya sesuai untuk dimakan berulang kali. Oleh sebab itu, ia boleh dijumpai di kebanyakan panggung wayang di seluruh dunia.

Untuk pengetahuan anda, bertih jagung adalah antara snek terawal yang diperkenalkan kepada umum. Ia mula menjadi santapan orang ramai seawal tahun sekitar 1800-an yang mana bertih jagung ini mula muncul sebagai hidangan snek bersama keluarga ketika berkelah dan bersosial.
Jika anda perasan, semenjak perintah kawalan pergerakan ini ramai individu mula mencuba menyediakan bertih jagung buatan sendiri. Ada yang menyalutinya dengan karamel, coklat dan banyak lagi.
Namun, tahukah anda terdapat pelbagai jenis bertih jagung yang boleh anda dapatkan di pasaran?
Jenis-Jenis Bertih Jagung
Perbezaan utama antara keduanya adalah bentuk kernel yang muncul selepas dimasak dan mengembang.
Dua jenis bertih jagung yang ingin Tajria kongsikan hari ini adalah bentuk rama-rama dan juga cendawan.
Bertih Jagung ‘Butterflies’
Kadang-kadang bertih jagung ini juga dikenali sebagai “kepingan salji” ataupun snowflakes.
Biasanya anda akan melihat bertih jagung jenis ini dijual di panggung wayang yang mana ia mempunyai bentuk akhir yang kelihatan tidak sekata disebabkan pecahan kernel yang rumit. Disebabkan itu juga, ia sering akan melekat diantara satu sama lain disebabkan pengembangan sayap yang muncul dari arah yang berbeza.
Bagi anda yang meminati bertih jagung yang jenis berlubang dan berangin, selain menghasilkan gigitan yang lembut dan juga rasanya yang lebih ringan, maka anda pasti akan menggemari bertih jagung jenis rama-rama.

Bertih Jagung ‘Mushroom’
Untuk bertih jagung jenis cendawan, ia biasanya mempunyai bentuk yang konsisten untuk setiap kali selepas masak dan apabila telah kembang sepenuhnya.
Ia mempunyai bentuk seakan kepala cendawan butang yang bentuk bulat lebar dan tektur luarnya juga sedikit kasar berbanding bertih jagung jenis rama-rama. Oleh kerana kernel yang dilancarkan berbentuk bulat, permukaan ini menampilkan permukaan yang lebih besar dan sangat sesuai disaluti dengan pelapis seperti karamel, coklat, atau keju cair.
Antara jenama pengeluar popular untuk bertih jagung jenis cendawan adalah Garrett Popcorn. Jenama ini telah berada dalam pasaran hampir lebih 65 tahun iaitu mula diperkenalkan semenjak 18 September 1949 oleh keluarga Garrett yang membuka kedai bertih jagung pertama di Chicago.

Jenis bertih jagung mana yang lebih sedap?
Jawapannya, ia sangat bergantung pada apa yang anda dan keluarga anda sukai. Seperti penulis sendiri, perbezaan dari bentuk kernel ini menjadikan ia sesuai dimakan mengikut jenis acara ataupun aktiviti yang dilakukan.
Sebagai contoh, jika anda ingin makan bertih jagung sewaktu berbual dan juga melepak bersama orang ramai, bertih jagung jenis cendawan adalah lebih sesuai kerana teksturnya yang lebih tebal dan saiz yang besar membuatkan anda kenyang lebih cepat selain ia boleh dihidangkan dalam pelbagai rasa mengikut citarasa masing-masing.
Namun, jika anda ingin menikmati bertih jagung tanpa henti dan berulang kali, maka bertih jagung jenis rama-rama merupakan pilihan yang terbaik untuk dihidangkan pada tempoh berkenaan.
Baca juga: Popcorn Antara Snek Terawal Di Dunia – Mengapa Ia Disajikan Di Pawagam?