Carian
3 Mitos Mengenai Jerawat Yang Mungkin Anda Percaya Selama Ini
August 13, 2021 Lina Rosli

Setiap orang pasti pernah mengalami masalah kulit yang tersendiri. Tidak kira sama ada sudah berada di peringkat teruk atau hanya sekadar peringkat awal.

Menurut NHS, jerawat biasanya muncul apabila lubang atau liang pori di kulit yang dikenali sebagai folikel rambut telah tersumbat. Tugas folikel rambut ini adalah untuk menjaga kelembapan dan menghidratkan kulit wajah.

Ada dua kelenjar yang ada pada wajah anda iaitu, kelenjar sebaceous dan juga kelenjar sebum. Kedua-dua kelenjar ini saling berkait rapat yang mana apabila salah satunya tidak dapat melakukan aktiviti dengan baik, maka ia akan mencetuskan komplikasi pada kulit.


Oleh sebab itu, apabila kelenjar anda menghasilkan sebum pada jumlah yang sedikit, ia boleh menyebabkan kulit kering dan merekah. Sementara, jika terlalu banyak sebum dalam folikel pula, ia boleh menyebabkan plag yang mengeras terbentuk yang kemudian boleh menyebabkan pelbagai bentuk jerawat.

Ketahui Mitos Yang Biasanya Dipraktikkan Ramai Individu Sekiranya Mengalami Jerawat

Apabila kulit anda mengalami masalah jerawat, ia sebenarnya perlu dikendalikan dengan baik. Selain mengetahui cara untuk meredakan masalah, anda juga perlu tahu mengenai punca dan sebab berlakunya jerawat.

Mitos 1 : Jerawat disebabkan oleh kotoran

Untuk pengetahuan anda, kemunculan jerawat tidak berkaitan dengan masalah kebersihan diri atau kotoran yang terdapat pada muka. Malah, jika anda mencuci muka terlalu kerap sebenarnya boleh mendatangkan keburukan yang mana merengsakan kulit dan menyebabkan keadaan jerawat bertambah teruk.

Namun, ia mungkin menjadi faktor berlakunya jerawat sekiranya anda tidak membersihkan sel kulit mati pada kulit dan seterusnya tidak mengawal pengeluaran sebum pada kulit sehingga menyebabkan liang pori tersumbat.


Mitos 2 : Tekanan punca masalah jerawat

Secara umumnya, tekanan tidak menyebabkan jerawat muncul. Namun, ia dikatakan boleh memburukkan lagi keadaan.

Menurut kajian penyelidik, tempoh penyembuhan dan pemulihan luka termasuk jerawat boleh menjadi lebih lambat ketika seseorang mengalami tekanan. Ia kerana tekanan akan merosakkan kolagen selain hormon kortisol juga akan menurunkan pengeluaran semula jadi asid hyaluronik yang mengeringkan kulit dan meningkatkan penampilan garis-garis halus.

Mitos 3 : Jerawat akan hilang dengan sendirinya

Jerawat biasanya tidak hilang dengan sendirinya. Tanpa rawatan, jerawat sering dapat berkembang dan bertambah buruk. 

Sekiranya anda mempunyai jerawat yang kemerahan dan bengkak, pastikan anda segera mendapatkan jenis ubat-ubatan yang bersesuaian supaya ia tidak menyebabkan kesan jangka panjang pada kulit.

Sumber: Dermalogica Mayo Clinic New In Health

Komen