Carian
Bolehkah Anda Melakukan Cucian Lilin Pada Kereta Dengan Kerap?
August 23, 2021 Lina Rosli

Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi kepada anda mengenai kepentingan penjagaan dan pencucian kereta secara berkala. Hal ini kerana, jika anda tidak membersihkan debu dan kotoran pada kereta, ia berkemungkinan besar akan mendatangkan kesan buruk pada cat kereta.

Untuk pengetahuan anda, kebiasaannya kereta akan kelihatan berkilat dan tampak baru disebabkan oleh lapisan cat dan juga lapisan lilin di bahagian luar. Oleh itu, jika anda melihat kereta yang warnanya sudah mula pudar, ia adalah disebabkan lapisan lilin dan juga kemasan luar yang sudah luntur.

Walau bagaimanapun, pembersihan dan pencucian kereta yang terlau kerap juga adalah tidak sesuai kerana ia akan menyebabkan penipisan lilin pada cat juga. Tambah lagi jika anda menggunakan sabun pencuci yang mengangungi bahan kimia yang kuat dan keras.


Jika anda ke kedai cuci kereta atau bengkel cucian, anda akan melihat senarai cadangan cucian yang boleh dilakukan pada kereta anda. Ia termasuk cucian biasa, cucian lilin, cucian kereta putih, cucian luar dan dalam dan sebagainya.

Namun, apa yang menjadi persoalan adalah adakah perlaksanaan cucian lilin baik untuk cat kereta anda? Jika ya, bolehkah ia dilakukan pada kadar yang kerap?

Jadi, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda mengenai cucian lilin serta kelebihan dan keburukannya pada kereta.

Apa Itu Cucian Lilin?

Cucian lilin atau lebih dikenali sebagai water wax adalah sejenis cecair lilin yang larut dalam air. Ia biasanya disediakan dengan menambahkan minyak mineral organik khas dan serangkaian pengemulsi tambahan pada sabun pencuci.

Jika anda melihat teskturnya, anda akan mendapati cucian lilin tidak berwarna, tidak berbau, jernih dan juga mempunyai nilai pH neutral 7.


Adakah Cucian Lilin Mempunyai Bahan Kimia Yang Berbahaya?

Seperti yang dinyatakan pada awal definisi cucian lilin, ia menggunakan minyak dari mineral organik yang mana tidak akan menimbulkan kesan kimia pada bahan badan kereta, termasuk cat, kaca, getah, aloi, aluminium dan penyaduran elektrik.

Dengan penggunaan cucian lilin juga, ia membantu dalam mengurangkan kesan debu dan kotoran pada permukaan kereta. Hasilnya, kekerapan dan frekuensi cucian kereta juga akan menurun sekaligus menjamin keselamatan dan ketahanan cat pada kereta.

Kebaikan Penggunaan Lilin Pada Kereta

Salah satu sebab mengapa kebanyakan kedai menawarkan penggunaan lilin ini adalah, ia dianggap sebagai pelindung matahari untuk kereta anda.

Lapisan pelindung nipis yang terdapat pada cat kereta anda menjadi penghalang yang menghalang sinar matahari daripada merosakkannya. Dengan mengekalkan lapisan lilin pada cat kereta, ia akan mencegah pudar, perubahan warna, dan pengoksidaan yang merupakan kesan biasa dari kerosakan sinar matahari.

Bukan itu sahaja, kebaikan lilin ini juga termasuk mengurangkan risiko calar yang dalam pada badan kereta kerana lapisan lilin bertindak sebagai perlindungan tambahan dan mencegah zarah-zarah lain dari tertanam di cat.

Malah, minyak di dalam lilin juga menambah kilauan, memberikan penampilan yang cantik pada kereta anda.

Elakkan Cucian Lilin Yang Menggunakan Semburan Tekanan Tinggi

Tidak dinafikan, cucian lilin mempunyai manfaat kosmetik seperti meningkatkan kilauan kereta sekaligus akan mencegah bintik-bintik air dan tompokan debu pada kereta.

Namun, tidak semua kereta memerlukan cucian lilin pada permukaan badan mereka. Dalam beberapa keadaan, cucian lilin sebenarnya boleh merosakkan kereta anda lebih-lebih lagi jika kedai yang dikunjungi menggunakan semburan bertekanan tinggi sewaktu melakukan cucian.


Mengapa sedemikian? Tekanan semburan yang tinggi dapat mengisar sisa kotoran atau serpihan ke cat. Oleh itu, jika anda ingin mencuci kereta menggunakan lilin, pilih servis yang menawarkan cucian lilin menggunakan tangan.

Melaluinya, cucian juga adalah lebih terperinci selain memberikan hasil yang lebih baik pada kawasan memerlukan perhatian tambahan.

Komen