Tidak dapat dinafikan bahawa dunia jam tangan lebih memfokuskan kepada penawaran jam tangan lelaki.
Namun sejak kebelakangan ini, sudah semakin banyak jenama yang mula hadir dengan pelbagai penawaran corak dan juga rekaan jam tangan yang lebih sesuai untuk para wanita.
Mengapa Banyak Jam Tangan Memfokuskan Penawaran Untuk Lelaki?
Salah satu sebabnya mungkin berkaitan dengan lelaki mempunyai pilihan fesyen yang jauh lebih sedikit berbanding wanita wanita.
Seorang lelaki mungkin memiliki sama ada beberapa pasang baju yang tahan lama dan boleh dipakai untuk pelbagai jenis acara. Kemudian, mereka akan melabur dalam sesuatu yang lebih mewah, dan jam tangan adalah antara aksesori yang sesuai.
Jam tangan pada umumnya mula popular dan digunakan ramai pada sekitar tahun 1920-an dan 1930-an. Terdapat tiga kategori jam tangan yang dilihat ditawarkan di pasaran dan antara yang terawal muncul merupakan jam mekanikal yang diperkenalkan pada tahun 1800-an.
Daniel Wellington Antara Pelopor Trend Jam Tangan Minimalis Untuk Wanita
Jika dilihat di pasaran, Daniel Wellington hadir dengan reka bentuk jam tangan yang memfokuskan kepada minimalis selain menawaran perincian yang cukup menarik sama ada pada muka jam mahupun tali jam.
Di samping, penawaran jam tangan semata, jenama ini turut menampilkan juga aksesori ikonik iaitu gelang tangan yang boleh dipakai bersama-sama dengan jam.
Sebelum ini, banyak jam tangan wanita terlalu banyak kelihatan seperti jam tangan lelaki yang mana ia hanya hadir dalam versi yang lebih kecil. Ataupun ada juga yang mungkin menambah berlian atau batu menjadikannya lebih ‘feminin’.
Namun untuk Daniel Wellington, jenama ini berekperimentasi dengan jam yang mungkin lebih unik untuk pasaran dengan memperkenalkan barisan produk yang dilengkapi dengan tali jam Nato.
Melalui penggunaan tali jam Nato, ia menghasilkan imej jam yang lebih kasual dan formal dalam satu masa yang sama. Sesuai dengan individu yang ingin tampil versatil dalam penampilan harian, maka jam tangan Daniel Wellington adalah pilihan yang digemari oleh generasi masa kini.
Siapa Pengasas Daniel Wellington?
Jenama jam tangan Daniel Wellington diperkenalkan pada tahun 2011 yang mana diasaskan oleh seorang lelaki dari Sweden yang bernama Filip Tysander. Untuk pengetahuan anda, Filip Tysander mengeluarkan wang poketnya sendiri sebanyak $30,000 untuk memulakan jenama jam tangannya sendiri.
Ideanya bermula apabila Tysander bertemu dengan seorang lelaki Inggeris bernama Daniel Wellington yang memakai jam tangan Rolex. Apa yang menarik sewaktu pertemuan itu, lelaki tersebut memakai Rolex dengan tali jam Nato klasik.
Tysander sangat terkesan dengan penampilan lelaki tersebut dan begitulah cara dia mendapat idea dan nama berjuta-juta dolar iaitu Daniel Wellington.
Dan semuanya bermula dengan pertemuan kebetulan.
Kuasa Media Sosial Pencetus Populariti Daniel Wellington
Pencetus kepada kejayaan Daniel Wellington adalah media sosial.
Sewaktu Tysander mula memperkenalkan jenamanya kepada umum, beliau memanfaatkan arus teknologi yang sedang pesat berlaku pada waktu itu. Beliau hadir dengan strategi pemasaran yang memfokuskan kepada kesedaran jenama (brand awareness).
Kempen pemasaran untuk produk Daniel Wellington dilihat dikongsikan dengan sangat aktif. Ramai individu dan pelanggan turut sama-sama menjayakan strategi tersebut dengan melakukan perkongsian gambar, video dan juga status di akan media sosial masing-masing.
Sehingga hari ini, sekitar 2.4 juta perkongsian telah dilakukan dibawah tagar #danielwellington dan 187 ribu perkongsian menerusi tagar #danielwellingtonwatches di Instagram.
Pada pendapat penulis, strategi ini dilihat bukan sahaja untuk menggalakkan pemilikan jam tangan Daniel Wellington, malah ia turut membantu jenama ini dalam membentuk satu komuniti untuk para penggemar dari pelbagai negara dalam berkomunikasi tentang minat dan maklumbalas tentang model yang dibeli dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, dengan trend fesyen minimalis yang juga semakin mendapat perhatian ramai selain banyak wanita mula menggemari pemakaian jam tangan yang lebih elegan dan santai, maka tidak hairanlah mengapa Daniel Wellington antara jenama yang digemari ramai.
Oleh itu, bagi anda yang mencari jam tangan minimalis untuk kegunaan setiap hari, kini anda sudah anda jawapannya. Anda juga boleh mengetahui jenis-jenis pergerakan jam yang ditawarkan di pasaran sebelum anda mula membeli.