Jika sebelum ini, Tajria pernah membawakan kepada anda menu yang boleh anda cuba menggunakan telur. Kali ini, Tajria ingin hadir dengan variasi menu untuk ikan bilis yang boleh anda cuba.

Menu ini bukan sahaja mudah ringkas malah ia turut memberikan khasiat yang cukup untuk menu makan tengahari dan juga makan malam anda. Untuk pengetahuan anda, ikan bilis kaya dengan protein yang penting untuk kesihatan tisu, tulang serta pelbagai lagi manfaat lain.

Malah, ikan bilis juga mengandungi Omega-3 yang berfungsi sebagai anti-keradangan. Antara vitamin dan nutrien lain yang boleh diperoleh termasuk riboflavin, selenium, niacin, folat, vitamin A, C, E, K serta mineral-mineral seperti zinc, zat besi, kalsium dan banyak lagi yang membantu memelihara kesihatan individu.

Jadi, berikut adalah beberapa bahan yang diperlukan dan juga cara penyediaan yang boleh anda ikuti.

Ikan Bilis Dengan Petai

Bahan-bahan:
  • Ikan bilis (yang suda dibelah)
  • Tiga tangkai petai (dihiris kasar)
  • 1 1/2 biji bawang merah besar (dihiris)
  • 3 biji bawang putih (dihiris)
  • 7 tangkai cili api (dihiris)
  • Garam secukup rasa
  • Ajinomoto secukup rasa

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis sehingga rangup dan berwarna coklat keemasan.
  2. Selesai menggoreng, angkat ikan bilis goreng dan masukkan ke dalam mangkuk.
  3. Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang merah, bawang putih dan cili api yang telah dihiris. Pastikan ia garing dan berbau wangi dan kemudian masukkan sedikit garam dan ajinomoto.
  4. Seterusnya, masukkan ikan bilis dan juga petai.
  5. Gaulkan sehingga sekata dan anda boleh hidangkan bersama nasi panas dan lauk yang lain.

Sambal Hijau Ikan Bilis

Bahan-bahan A: 
  • 5 batang cili hijau (dibuang tangkainya)
  • 15 biji cili padi merah (untuk rasa lebih pedas)
  • 4 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 sudu kecil asam jawa
  • ¼ potong gula nisan (gula merah)
  • Sedikit belacan, garam
  • 2 sudu gula pasir
Bahan-bahan B: 
  • Ikan bilis goreng secukupnya
  • 1 ulas bawang merah besar (dihiris)
Cara Memasak: 
  1. Kisar cili hijau, cili padi, bawang merah dan bawang putih sehingga hancur. Campurkan sedikit ikan bilis goreng di dalam bahan yang telah dikisar.
  2. Panaskan minyak dan kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar selama sehingga masak atau naik minyak (kira-kira 10-12 minit).
  3. Apabila sudah masak, masukkan air asam jawa ke dalam bahan tumisan. Tumis sehingga warna bahan kisar bertukar warna menjadi lebih gelap dan terbit aroma.
  4. Kemudian, tambahkan gula nisan ke dalam bahan tumisan. Apabila sudah larut, masukkan garam dan gula secukup rasa.
  5. Akhir sekali, campurkan ikan bilis yang telah di goreng bersama bawang merah yang telah dihiris ke dalam sambal tersebut. Kacau rata dan biarkan ia masak sehingga pecah minyak.

Sambal Kentang Dan Ikan Bilis

Bahan-bahan: 
  • 2 biji kentang dihiris nipis
  • 2 genggam ikan bilis (akan digunakan dalam bahan kisar dan juga goreng)
  • 3 sudu besar cili kisar
  • 4 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 sudu kecil asam jawa
  • ¼ potong gula nisan (gula merah)
  • Sedikit belacan, garam
  • 2 sudu gula pasir
Cara Memasak: 
  1. Kisar cili, bawang merah, bawang putih dan ikan bilis sehingga halus
  2. Di kuali lain, anda boleh goreng kentang sehingga rangup. Selepas itu goreng juga ikan bilis sehingga garing.
  3. Selesai semua, anda boelh mula panaskan minyak dan kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar selama sehingga masak atau naik minyak sekitar 10 minit.
  4. Apabila sudah masak, masukkan air asam jawa ke dalam bahan tumisan. Tumis sehingga warna bahan kisar bertukar warna menjadi lebih gelap dan sehingga hilang bau cili mentah.
  5. Kemudian, tambahkan gula nisan ke dalam bahan tumisan. Apabila sudah larut, masukkan garam dan gula secukup rasa.
  6. Akhir sekali, campurkan ikan bilis dan kentang yang digoreng ke dalam sambal tersebut. Kacau rata dan biarkan ia masak sekitar 2 hingga 3 minit.

Sambal Gesek Ikan Bilis

Bahan-bahan:
  • 1 biji tomato dipotong dadu atau potong empat (boleh juga anda gunakan tomato puri)
  • 3 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 7 biji cili api merah
  • 7 biji cili api hijau
  • Belacan atau anda juga boleh gunakan ikan bilis
  • 1 1/2sudu kecil garam
  • 1 sudu ajinomoto
Cara Penyediaan:
  1. Panaskan minyak. Kemudian, masukkan tomato, bawang merah, bawang putih, cili api dan ikan bilis atau belacan ke dalam kuali. Goreng hingga garing.
  2. Setelas selesai digoreng, angkat kesemua bahan dan tumbuk atau gesek sehingga lumat.
  3. Tambah garam dan ajinomoto ke dalam bahan. Gaul hingga ia sebati.
  4. Tumiskan sekali lagi sambal gesek dengan minyak masak sehingga naik bau dan masak sempurna. Sejukkan seketika. Selamat mencuba!

Terung Balado Dengan Ikan Bilis

Bahan-bahan
  • 2 biji terung
  • Segenggam ikan bilis
  • 8 batang cili api
  • 3 biji bawang merah
  • 3 biji bawang putih
  • garam secukup rasa
  • gula

Cara Penyediaan

  1. Goreng ikan bilis sehingga garing.
  2. Tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih, cili api dan masukkan sedikit ikan bilis. Pastikan bahan yang dikisar tidak begitu dikisar terlalu lumat.
  3. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi. Tumis sehingga ia naik bau dan kelihatan garing.
  4. Masukkan satu sudu gula dan garam mengikut citarasa anda.
  5. Apabila sudah digaul rata, masukkan terung yang telah dipotong kecil dan masukkan sedikit air untuk membantu melembutkan terung.
  6. Kecilkan api dan biarkan terung balado anda di atas api sehingga warna terung kelihatan pudar. Jika terung sudah lembut, matikan api dan ia sedia untuk dihidangkan.