Tidak kiralah sebagai wanita berkerjaya, suri rumah ataupun srikandi yang menggalas kedua-dua peranan ini, ada kalanya anda pasti akan terasa tertekan dengan beban yang ditanggung ketika mengurusakan kerja, tanggungjawab dan sebagainya.

Apabila terlalu memfokuskan kepada tugasan luar, pastinya ia akan membuatkan kita leka dan tidak memberikan keutamaan pada kesihatan diri sekaligus akan memberikan kesan kepada tanda-tanda penuaan.


Tahukah anda, keputusan yang anda ambil pada fasa ini boleh mendatangkan kesan berpanjangan terhadap kesihatan masa depan? Justeru, Tajria hari ini ingin berkongsikan 5 petua kesihatan dan diet dari Abbott yang boleh anda amalkan tatkala melangkah ke fasa 30-an bagi menjalani kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.

Mengapa Wanita Di Usia 30-an Perlu Mengambil Berat Pada Kesihatan Diri? 

Usia 30-an melambangkan satu dekad bermakna lagi penting kerana etiap keputusan anda sepanjang tempoh ini mampu memberi kesan berpanjangan terhadap kesihatan masa depan.

Ketika anda sibuk mengimbangi tuntutan kerja dengan kehidupan peribadi, mungkin anda akan merasakan bahawa badan akan menjadi:

  • lebih cepat letih
  • kekuatan otot mula merosot
  • tubuh tidak lagi fleksibel berbanding di usia 20-an

Sungguhpun proses penuaan tidak dapat dielakkan, namun ia bukanlah sesuatu yang perlu dipandang remeh. Dengan gambaran badan yang semakin lanjut usia, anda juga akan mendapati badan anda akan memproses tenaga pada kadar yang lebih perlahan.


Oleh itu, membuat pilihan bijak tentang jenis makanan dan masa makan anda dapat mencetuskan impak positif terhadap kesihatan jangka panjang anda. Sememangnya, kesihatan tidak terpisah daripada nutrisi yang baik.

Nutrien utama seperti protein berperanan penting untuk menjana tenaga sel-sel badan, mengawal fungsi hormon, serta menyokong kekuatan otot anda untuk kehidupan seharian dan menyokong fungsi imun.

Ketahui 5 Petua Kesihatan Dan Diet Yang Perlu Anda Amalkan 

Berikut merupakan beberapa petua kesihatan dan diet bagi membantu anda di usia 30-an:

Dapatkan Protein Untuk Kesihatan Otot

Protein merupakan komponen penting bagi setiap sel badan anda dan berfungsi menghasilkan hormon, enzim, darah, antibodi, serta kulit, tulang dan otot.

Pengambilan protein sangat penting dan perlu dilakukan seiring dengan peningkatan usia. Hal ini kerana, protein mempengaruhi segala aspek kesihatan anda yang merangkumi pergerakan, keseimbangan, postur, mahupun kekuatan dan tenaga.


Jadi, sasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 52g protein setiap hari dari sumber haiwan yang rendah lemak seperti ayam, makanan laut, atau telur. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menggabungkan protein tidak lengkap dari sumber seperti kekacang, sayur-sayuran dan biji-bijian dalam setiap hidangan.

Untuk lebih mudah, anda boleh membahagikan pengambilan protein kepada tiga bahagian dan di setiap hidangan utama. Melaluinya, ia dapat menghasilkan tenaga selain dapat membantu meningkatkan kekuatan otot anda.

Amalkan Tabiat Senaman

Senaman dan nutrisi yang betul dapat membentuk gaya hidup sihat. Pada usia 30-an, anda harus bersenam dengan lebih bijak dan bukannya lebih keras.

Terapkan senaman ketahanan yang terbukti berkesan meningkatkan jisim dan kekuatan otot. Selain itu, senaman juga membantu mengurangkan tekanan dan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung dan diabetes.

Tidak minat aktiviti fizikal? Tidak mengapa, mula dengan yoga dan meditasi ringan untuk memupuk rutin dan tingkatkan tahap aktiviti anda secara beransur-ansur.


Sediakan Waktu Tidur Yang Mencukupi

Walaupun kedengaran mudah, mendapat tidur lena sangat mencabar khususnya bagi golongan ‘workaholic’, ibu bapa dengan anak-anak kecil, atau mereka yang berdepan gangguan tidur sejak usia 20-an.

Pastikan anda mendapat tidur mencukupi sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam setiap malam. Menurut kajian, tidur mencukupi dapat mempertingkatkan emosi anda, menguruskan berat badan, serta mencapai status jantung yang lebih sihat.

Pertimbangkan Suplemen Oral 

Biarpun anda dapat memperoleh nutrien mencukupi melalui makanan, namun tidak dinafikan bukannya mudah untuk mendapat kuantiti yang tepat setiap hari.

Jika anda sukar untuk memenuhi saranan nutrien harian seperti vitamin D, Omega-3, kalsium atau protein, dapatkanlah rundingan doktor tentang pengambilan suplemen atau nutrisi khusus.

Contohnya, produk Ensure Max Protein dari Abbott merupakan pilihan sedia diminum yang ideal untuk memenuhi keperluan protein harian anda. Ia kaya dengan 25 vitamin dan mineral penting bagi memelihara paras tenaga dan kesihatan anda.


Sentiasa Cakna Akan Keperluan Dan Kesihatan Tubuh

Usia 30-an juga dianggap masa tepat untuk memulakan saringan dan pemeriksaan kesihatan berkala. Ini kerana pelbagai penyakit gaya hidup mungkin akan mula menunjukkan tanda-tandanya.

Pemeriksaan kesihatan yang berkala adalah sangat penting untuk wanita khususnya jika anda mempunyai sejarah keluarga penyakit barah, diabetes, atau penyakit jantung.

Malah, kajian menunjukkan penghidap penyakit kritikal, khususnya mereka yang berada lama di hospital, berisiko mengalami kehilangan otot yang ketara, kelemahan tulang dan otot, sekali gus menjejaskan keupayaan fizikal.

Oleh itu, perjumpaan dan komunikasi berterusan dengan doktor adalah kunci utama dalam memastikan anda sentiasa lebih cakna tentang kesihatan diri dan bersedia berdepan sebarang masalah kesihatan atau cabaran berkaitan dengan penuaan.


Dalam era moden ini, sudah tentu para wanita 30-an kini sibuk memenuhi tuntutan profesional dan peribadi yang semakin mencabar. Walau bagaimanapun, apabila hampir mencecah usia ini, anda mesti berusaha mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan penjagaan diri.

Harus diingatkan, kesihatan pada fasa ini akan menjadi penentu kesihatan anda pada masa akan datang. Sekecil manapun langkah permulaan anda, perubahan diet dapat mencetuskan impak jangka panjang yang bermakna bagi menangani perubahan badan anda.

Justeru, tumpukanlah perhatian pada kesihatan anda hari ini demi melangkah ke hari esok yang lebih sihat dan bahagia. Semoga bermanfaat!