Carian
Volco Cars Mula Menawarkan Aksesori Fesyen Mewah Edisi Terhad – Kerjasama Dengan 3.1 Phillip Lim, Menawarkan Beg Tangan Lestari
October 11, 2021 Lina Rosli

Sebelum ini, Volvo Cars hadir dengan perancangan dalam mempergiatkan pengeluaran produk dalaman kereta berasaskan bahan kitar semula dan bebas kulit haiwan. Menerusinya, jenama ini menjangkakan akan menawarkan kereta yang bebas kulit haiwan sepenuhnya pada kesemua model elektrik yang dikeluarkan Volvo menjelang 2025.

Nampaknya tidak sekadar berhenti di situ, jenama mula menampilkan perancangan yang lebih impresif dengan mengembangkan penawarannya dalam sektor fesyen pula.


Menerusi kerjasama dengan 3.1 Phillip Lim, Volvo Cars menyatakan hasrat mereka untuk menawarkan aksesori fesyen mewah baru yang diperbuat dari bahan dalaman Volvo yang mana menggunakan bahan dari sumber berasaskan bio dan kitar semula.

Sebagai salah satu pelopor terkemuka dalam fesyen, 3.1 Phillip Lim telahpun mempersiapkan beg hujung minggu edisi terhad untuk individu yang turut ingin menjayakan kempen kelestarian.

Menurut 3.1 Phillip Lim, beg tersebut direka menggunakan tekstil yang dihasilkan dari bahan kitar semula seperti botol PET, bahan bio-atribut dari hutan lestari di Sweden dan Finlandia dan gabus yang dikitar semula dari industri wain.


Bahan yang dihasilkan oleh kesemua produk ini dikenali sebagai Nordico. Ia merupakan bahan yang sama dihasilkan untuk produk dalaman untuk Volvo C40 Recharge dan juga semua model Volvo elektrik yang akan ditawarkan kelak.

Walau bagaimanapun, beg Volvo Cars X 3.1 Phillip Lim ini tidak tersedia untuk pembelian kerana ia merupakan keluaran edisi terhad dan eksklusif. Menurut Volvo Cars, orang ramai mungkin berpeluang untuk mendapatkan sejumlah beg lestari ini melalui inisiatif pasaran tempatan seperti pertandingan, lelongan amal dan hadiah.

Komen