Carian
Gigi Berubah Warna? Apa Yang Mencetuskan Ia Berlaku?
October 26, 2021 Lina Rosli

Sebelum ini Tajria pernah berkongsi kepada anda bahawa tannin di dalam kopi boleh menyebabkan perubahan warna gigi.

Hal ini disebabkan tannin boleh menyebabkan sebatian warna kopi melekat pada gigi anda. Apabila sebatian ini melekat, ia akan meninggalkan kesan warna kuning pada gigi. Bagi sesetengah kes, perubahan warna gigi boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai  kerana ia boleh menjejaskan senyuman dan menurunkan konfiden pada diri.


Antara contoh perubahan warna yang boleh berlaku termasuklah warna seakan kekuningan, coklat, hitam, hijau kelabu kebiruan dan putih legap. Keadaan ini boleh terjadi kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa yang disebabkan oleh:

  • Intrinsik – Perubahan berlaku di dalam struktur gigi yang disebabkan oleh faktor-faktor dalaman.
  • Ekstrinsik – Perubahan berlaku pada permukaan luar gigi yang disebabkan oleh faktor-faktor luaran.

Faktor Intrinsik Yang Menyebabkan Perubahan Warna Gigi

Bagi setiap gigi, ia mempunyai cangkerang putih yang disebut enamel. Di bawahnya terdapat kawasan yang lebih lembut yang dipanggil Dentin. Dari masa ke semasa, lapisan luar enamel luar akan menjadi semakin nipis disebabkan oleh tabiat memberus gigi sekaligus menjadikan warna kekuningan dentin akan kelihatan.

Buakn itu sahaja, ada juga kebarangkalian perubahan warna gigi dicetuskan oleh penyakit yang menjejaskan enamel. Sebagai contoh, perlaksanaan kemoterapi boleh menyebabkan perubahan warna gigi. Ataupun, ada juga jangkitan tertentu pada ibu hamil boleh menyebabkan perubahan warna gigi pada bayi mereka sekaligus menjejaskan perkembangan enamel.

Gejala lain yang mungkin berlaku

  • Kecederaan gigi yang menyebabkan pendarahan pulpa
  • Gigi yang telah mati disebabkan trauma atau rosak
  • Masalah kesihatan dan gangguan semasa tempoh pembentukan dan proses pertumbuhan gigi
  • Masalah kongenital saluran hempedu
  • Pertambahan usia
  • Faktor keturunan

Faktor Ekstrinsik Yang Menyebabkan Perubahan Warna Gigi

Kebiasaannya ubat akan hadir kesan sampingan. Kanak-kanak yang terdedah kepada ubat semasa gigi mereka terbentuk, ia cenderung mengalami perubahan warna gigi apabila dewasa.

Selain itu, amalah pemakanan dan minuman yang tidak dijaga dengan baik memainkan peranan utama dalam mengotorkan gigi anda. Antara minuman yang boleh mengotorkan gigi termasuk kopi dan wain kerana mereka mempunyai chromogens iaitu pigmen warna pekat yang melekat pada bahagian luar gigi.

Untuk mengurangkan pembentukan kotoran, anda dicadangkan untuk minum dengan penyedut minuman dan kerap kumur dengan pembersih gigi untuk menghilangkan perwarna.

Akhir sekali, dua bahan kimia yang terdapat dalam tembakau iaitu tar dan nikotin akan menghasilkan kesan yang buruk pada gigi. Tar secara semula jadi gelap. Manakala, nikotin pula tidak berwarna. Namun, apabila ia bercampur dengan oksigen, ia menghasilkan warna kekuningan. 

  • Penggunaan secara berpanjangan bahan kumur yang mengandungi klorheksidina (chlorhexidine)
  • Bakteria dalam mulut.

Bolehkah Perubahan Warna Gigi Disembuhkan?

Untuk perubahan warna disebabkan oleh ekstrinsik, ia biasanya boleh dihilangkan dengan teknik penskaleran dan penggilapan (polishing). Namun untuk kes intrinsik, ia mungkin memerlukan kaedah rawatan yang lebih rumit.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan Untuk Mencegah Gigi Berubah Warna?

  • Amalkan penjagaan kesihatan pergigian yang baik.
  • Dapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala.
  • Elakkan penggunaan tembakau, kopi dan minuman lain yang boleh mengotorkan gigi.
  • Guna alat pelindung mulut semasa aktiviti lasak seperti berbasikal dan ragbi untuk mengelakkan kecederaan gigi.

Sumber: Dental Group Formarillo WebMD myhealth

Komen