Lina Rosli Diterbitkan 27 October 2021

Khasiat Pengambilan Lada Benggala Dalam Hidangan Harian

Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi kepada anda fakta menarik mengenai jantina lada benggala.

Untuk pengetahuan anda, sekiranya anda mendapati bahagian bawah lada benggala terdapat 3 lekuk atau bumps, maka jantinanya adalah jantan.

Sementara jika mempunyai 4 lekuk pula, jantina lada benggala tersebut adalah betina. Perbezaan dari segi rasa, lada benggala betina biasanya lebih manis selain mempunyai lebih banyak biji.


Bercerita mengenai lada benggala lagi, terdapat beberapa kelebihan pengambilannya yang mungkin tidak anda ketahui. Berikut adalah 5 khasiat yang ditawarkan dalam lada benggala:

Baik Untuk Kesihatan Jantung Dan Pencernaan

Lada benggala adalah antara sayuran yang sangat sihat. Dari segi luaran, ia menampilka beberapa pilihan warna yang berlainan sama ada varieti hijau, merah, kuning atau hijau.

Walaupun terdapat perbezaan warna, hakikatnya kesemua lada benggala membekalkan serat, zat besi dan juga folat yang mampu menyokong kesihatan usus selain berfungsi baik untuk sistem kardiovaskular.

Menurut perunding pemakanan Lauren Michen, lada benggala juga sesuai bagi menjadi agen detoksifikasi semula jadi bagi individu yang memerlukan penjagaan diet yang rapi.


Kaya Dengan Kalium.

Bukan itu sahaja, lada benggala juga merupakan sumber kalium dan vitamin A yang baik untuk tubuh.

Menerusi kehadiran kalium, ia membantu menjaga kesihatan jantung dengan cara menurunkan tekanan darah dan mengurangkan penampilan perut buncit dengan mengurangkan pengekalan air di dalam tubuh.

Berikan Untuk Kesihatan Mata

Seperti yang dinyatakan di perenggan sebelum, lada benggala mengandungi vitamin A yang membantu mengekalkan kesihatan mata selain turut mengekalkan penglihatan yang jelas untuk mata. Bukan itu sahaja, ia juga berfungsi untuk mencegah degenerasi makula lebih-lebih lagi ke atas golongan berisiko.

Mengandungi Antioksidan Yang Tinggi

Untuk pengetahuan anda, selain vitamin A, lada benggala merah juga kaya dengan vitamin C dan pelbagai karotenoid yang berfungsi sebagai antioksidan dan menyokong kesihatan mata dan kardiovaskular.

Manakala untuk lada benggala jenis kuning pula, ia membekalkan beta-karoten yang akan membentuk antioksidan serta turut berkemampuan menghasilkan vitamin C dan kalium.


Manfaat Pada Kulit

Seperti yang sering anda dengar, kebanyakan sayur-sayuran membantu mengurangkan kedutan yang biasanya kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia.

Oleh itu, pakar diet mengesyorkan pengambilan lada benggala dalam hidangan harian mampu mengurangkan risiko penuaan selain menghasilkan kulit yang lebih awet muda dan anjal.

Bolehkah Anda Makan Lada Benggala Secara Berlebihan?

Walau bagaimanapun, percaya atau tidak, pengambilan lada benggala secara berlebihan boleh mengakibatkan kurang pengambilan nutrien penting lain, yang boleh menyebabkan badan tidak mendapat nutrien yang diperlukan dalam jangka masa panjang.

Bukan itu sahaja, bagi sesetengah individu yang tidak mempunyai toleransi yang baik terhadap makanann pedas seperti lada benggala, ia berkemungkinan besar boleh menyebabkan masalah pencernaan dan keradangan lain.

Oleh itu, setiap individu disyorkan untuk mengehadkan pengambilan lada benggala kepada hanya satu sehari sekali. Tetapi dalam apa jua keadaan, berbincang dengan doktor atau pakar diet anda jika anda pernah mengalami simptom ini dan mengesyaki anda mungkin mengalami intoleransi.