Selepas mengembangkan penawaran pembelian makanan menerusi lebih daripada 250 kiosk pintar di stesen minyak, nampaknya FamilyMart Malaysia makin aktif dalam menyajikan kemudahan kepada seluruh individu di Malaysia dalam mendapatkan makanan dan minuman yang digemari ramai.

Menerusi pengenalan kedai konsep baharu mereka yang memfokuskan kepada kedai serbaneka besar (food superstore), FamilyMart nampaknya telah mempertingkatkan penawaran pilihan makanan dan minuman mereka bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Selari dengan perkembangan yang pesat dalam sektor peruncitan, perancangan ini dikatakan bertujuan untuk menjadikan kehidupan pengguna moden lebih mudah dan lebih baik melalui produk, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.


FamilyMart Kini Menawarkan Makanan Sejuk Beku Yang Sedia Makan

Berbanding kedai FamilyMart sedia ada sebelum ini, FamilyMart Superstore dijangka akan melengkapkan perubahan gaya hidup pelanggan dengan menampilkan pelbagai pilihan makanan harian bermula daripada snek sehingga ke makanan sejuk beku yang boleh disediakan dengan mudah di rumah atau di pejabat setiap hari.

Terdapat lebih 100 produk dalam rangkaian baharu ini untuk pelanggan nikmati termasuk menu baru di bawah kategori snek panas FamilyMart iaitu sosej jagung, roti goreng Jepun, croissant sandwic dan ramen.


Rekaan Dalaman FamilyMart Yang Telah Diubahsuai Menjadi Insta-Worthy

Apa yang menarik, jika sebelum ini FamilyMart memfokuskan kepada hiasan dalaman yang minimal dan tampak cerah, kini rekaan dan pengalaman di dalamnya juga telah banyak berubah.

Kedai konsep FamilyMart baharu mula menggunakan rona kayu Insta-worthy. Apabila melangkah masuk, pelanggan disambut dengan ruang tempat duduk yang selesa dan lantai jualan yang dihiasi dengan dinding wqrna tanah berinspirasikan Jepun.


Bagi anda yang ingin melawati Kedai Konsep ‘Food Superstore’ FamilyMart yang pertama, ianya terletak di Sri Petaling dan Bandar Puteri Puchong. Menjelang akhir 2021, sekurang-kurangnya sekitar 20 kedai konsep akan dibuka yang mana setiap negeri akan mempunyai satu kedai konsep berkenaan.