Untuk pengetahuan anda, kucing adalah antara haiwan yang sangat sensitif terhadap kebersihan persekitaran mereka. Ia dapat dilihat sekiranya anda membiarkan kotak najis mereka penuh dengan najis dan tidak dibersihkan dalam beberapa hari, kucing akan mula mencari tempat yang baharu untuk membersihkan diri.

Jadi, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda 3 tips mudah untuk melatih kucing anda membuang air di kotak najis dan petua untuk mengelakkan mereka daripada kencing merata-rata.


Kepentingan Melatih Kucing Buang Air Di Kotak Najis Yang Disediakan

Antara yang paling penting adalah kebersihan litter box atau kotak najis. Anda perlu sentiasa memastikan kotak najis tersebut berada dalam keadaan yang bersih dan tidak berbau supaya kucing anda berasa selesa.

Jika kotak najis itu telah dipenuhi dengan najis-najis kucing, anda perlu membersihkannya sekurang-kurangnya sehari sekali lebih-lebih lagi apabila anda memiliki jumlah kucing yang banyak.


Malah, apabila ia tidak dibersihkan, kucing anda kemungkinan besar membuang air di luar kotak najis. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menyebabkan pengumpulan bakteria serta akan terdapat ulat pada najis tersebut.

Selain itu, sekiranya anda mendapati bahawa kucing anda masih tidak mahu menggunakan kotak najis walaupun ianya sudah dibersihkan dan tidak berbau, sila bawa kucing anda ke veterinar kerana dibimbangi kucing anda menghidapi masalah kesihatan berkaitan dengan usus atau dijangkiti virus Parvo.

3 Tips Melatih Kucing Anda Buang Air Kecil Dan Besar Di Kotak Najis

Pertama sekali, anda perlu memastikan anda membeli dan menyediakan kotak najis dengan saiz yang bersesuaia untuk kucing anda. Sekiranya anda mempunyai kucing yang banyak atau bersaiz besar, sudah tentu anda memerlukan bekas dengan ruang yang besar.

Pilih Lokasi Kotak Najis Yang Bersesuaian

Perhatikan kawasan atau lokasi yang kerap kucing anda pergi dan beraktiviti. Kemudian, cuba galakkan mereka masuk ke dalam kotak najis tersebut. Cara paling efisien untuk memastikan mereka buang najis di dalam kotak tersebut adalah dengan mengambil sedikit bekas najis lama mereka dan letakkan di dalam kotak tersebut.

Ia kerana kucing biasanya akan kembali ke lokasi yang mereka serasi dan kenal yang mana ia sering dikaitkan dengan bau. Usah risau, kucing atau anak kucing mungkin mengambil masa beberapa kali untuk memahami idea itu.


Gunakan Pasir Najis Yang Mereka Selesa

Jika anda telah mengalihkan kotak najis ke kawasan kegemaran mereka, namun kucing anda masih tidak menggunakannya, ia mungkin disebabkan oleh faktor lain dan bukannya lokasi.

Cuba bereksperimen dengan pelbagai jenis pasir najis. Sesetengah jenis pasir boleh menjadi tidak selesa pada kaki mereka atau mungkin juga tidak menyerap air kencing dengan baik yang boleh menyebabkan kaki kucing terasa pelik apabila memijaknya.


Beri Ganjaran Jika Mereka Buang Najis Di tempat Yang Betul

Sebaik sahaja anda menemui kotak najis, pasir dan lokasi yang disukai kucing anda, cuba berikan mereka banyak pujian sekiranya mereka telah melakukan sesuatu yang sangat baik.

Jika anda mempunyai kucing jantan yang sedang meneran atau kelihatan sukar untuk membuang air kecil, anda perlu memberi perhatian yang lebih kerana ia boleh menjadi hal kecemasan dan kucing anda perlu berjumpa doktor haiwan dengan segera.