Salah satu tarikan utama yang ada pada Samsung Galaxy Z Flip3 5G adalah penawaran pilihan warna yang sangat menarik iaitu Cream, Phantom Black, Green dan Lavender. Kesemua warna ini sememangnya menepati kriteria warna masa kini selain ia hadir dengan kemasan yang moden pada tubuh peranti.
Namun, bagi anda yang meminati aksesori yang lebih menarik pada Samsung Galaxy Z Flip3 anda, Samsung dan Disney baru-baru ini telah bekerjasama dalam melancarkan aksesori eksklusif untuk Galaxy Z Flip3 5G iaitu kerangka silikon, tali boleh-pasang, pek pelekat, dan juga rantai kunci.
Apa yang menarik tentang keluaran eksklusif Samsung X Disney ini, ia menggunakan ikon, logo dan watak yang popular daripada Disney, Marvel, Star Wars, The Simpsons dan National Geographic. Dengan ini, anda boleh memadankan peranti anda dengan tali boleh-pasang dan rantai kunci mengikut filem dan karakter kegemaran anda.
Selain itu, untuk kesemua rekaan dilihat menggunakan warna yang cukup menyerlah di samping hadir dengan corak ilustrasi yang minimalis. Melaluinya, anda boleh menukar gaya dengan lebih mudah sekaligus menzahirkan personaliti unik menerusi penampilan Samsung Galaxy Z Flip3 5G milik anda.
Jadi, jika anda mengetahui lebih lanjut mengenai pengalaman penggunaan Samsung Galaxy Z Flip3 5G ini dari sudut pandangan Tajria, anda boleh baca ulasan kami di artikel Samsung Galaxy Z Flip3 Benar-Benar Bergaya Atau Sekadar Untuk Flex?