Selepas 22 tahun sejak Pantone mula mengeluarkan palet warna yang sesuai untuk setiap tahun, nampaknya untuk tahun 2022, mereka telah mencipta warna baharu yang belum pernah diperkenalkan iaitu ‘Very Peri’.

Warna ‘Very Peri’ merupakan warna periwinkle yang menggabungkan biru dan juga ungu yang terang. Penampilan warna ini menawarkan sentuhan baharu yang sesuai dengan era digital yang kini kian aktif dan penting dalam kebanyakan industri.


Dengan menggunakan kod warna Pantone 17-3938, ‘Very Peri’ adalah satu warna yang simbolik kepada perubahan yang berlaku di dunia sekarang.

Berbanding warna Pantone 2021 iaitu kuning cerah (Illuminating) dan juga kelabu (Ultimate Gray) yang merujuk kepada nilai berkekalan dan menaikkan semangat, warna Pantone 2022 lebih memfokuskan kepada warna transformatif selain membantu kita mendapatkan perspektif baharu pada tahun hadapan.


Bukan itu sahaja, pemilihan warna gabungan biru dan ungu ini juga turut boleh dikaitkan dengan warna cahaya yang dekat dengan teknologi seperti  telefon pintar dan komputer.

Pemilihan Warna Very Peri Dalam Fesyen Harian

Dengan adanya ramalan trend untuk warna ini, ia membantu anda membuat pilihan untuk gaya dan fesyen 2022 dengan lebih mudah. Hal ini kerana, individu boleh memilih padanan warna baju, tudung dan seluar yang relevan dengan fesyen semasa.


Berikut adalah beberapa idea asas yang boleh anda praktikkan dalam pemilihan warna:

Pilih warna yang lebih lembut dan selamat. Periwinkle atau Very Peri dipadankan dengan baik dengan warna seperti, merah jambu, kuning air, hijau lembut, aprikot, jingga, atau warna pelengkap seperti biru langit, putih, hitam dan juga kelabu.

Selain itu, warna semula jadi seperti warna coklat muda, beige, atau warna tanah yang lain juga boleh menampilkan padanan yang lebih elegan dan minimal jika digayakan dengan Very Peri. Anda boleh menggayakannya sama ada sebagai warna utama atau warna pelengkap kepada Very Peri.


Untuk penampilan yang halus dan elegan, anda selalu boleh bergantung pada pencampuran warna yang hampir sama antara satu sama lain, tetapi berbeza pada masa yang sama.

Anda juga boleh mencari idea untuk padanan baju dan hijab yang mungkin anda inginkan. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai masalah memadankan pakaian bercorak dengan warna biasa. 

Baca: Kombinasi Warna Yang Sesuai Untuk Tudung Dan Baju Anda