Carian
Ingin Sediakan Ruang Kopi Khas Untuk Rumah Anda? Ini Tips Dan Item Yang Anda Perlukan
December 30, 2021 Lina Rosli

Disebabkan banyak waktu kini dihabiskan di rumah, pastinya anda ingin mencari sesuatu aktiviti dan menyediakan satu ruangan khusus ketika di rumah. 

Salah satunya ruang kopi khas yang memudahkan anda untuk mengakses dan menikmati aroma kopi seperti berada di kafe. Tidak kiralah sama ada anda hanya minum kopi pada hujung minggu atau sekali seminggu, atau hanya apabila anda mempunyai teman, anda mungkin akan mendapat manfaat daripada menyediakan ruang khas kopi di rumah.


Untuk memulakannya, anda mungkin perlu mencari ruang khusus yang bersesuaian untuk menukar sebahagian daripada rumah anda kepada ruang khas kopi yang bergaya.

Ingin mengetahui apa yang diperlukan untuk mengubah ruang anda menjadi kedai kopi yang minimalis, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda senarai item dan juga tips penyediaan ruang kopi di rumah anda.

Troli Kopi

Jika anda tidak mempunyai ruang yang besar, dan saiz kabinet anda pula kecil, maka menggunakan troli kopi adalah pilihan yang tepat.

Melalui penggunaan troli, anda boleh menyimpan segala-galanya pada tempatnya dan teratur. Anda boleh memilih troli tiga tingkat dan mempunyai reka bentuk yang anggun dan moden yang sememangnya trendy pada masa kini.


Memandangkan troli kopi mempunyai roda, ia membolehkan anda menggerakkan mesin kopi dengan bebas dari satu tempat ke satu tempat tanpa sebarang masalah.

Mesin Kopi

Pastinya tidak akan lengkap ruang khas kopi di rumah anda tanpa mesin pembuat kopi.

Terdapat pelbagai jenama dan variasi mesin kopi dan salah satunya Nespresso Essenza Mini yang sesuai menghasilkan kopi dan espresso, dan serasi dengan berpuluh-puluh kapsul berperisa yang boleh membuat minuman panas atau ais. Menggunakan mesin kopi moden, ia bantu anda menyediakan minuman secara mudah dengan hanya sentuhan butang.


Tetapi jika anda gemarkan mesin kopi yang klasik, anda boleh memilih dari jenama sama ada De’Longhi, Pensonic dan juga Philips. Penting juga anda memilih mesin kopi berdasarkan kemampuan bar kopi yang ditawarkan.

Pembuih Susu (Frother)

Seterusnya, untuk menyediakan secawan kopi yang berkualiti setaraf barista setiap pagi, pembuih susu adalah satu kemestian.

Peranti kecil ini boleh membuat buih susu panas atau buih susu sejuk dalam masa beberapa minit. Bukan peminat buih? Kebanyakan frother juga mempunyai keupayaan untuk hanya memanaskan susu supaya anda tidak perlu menuang bahan sejuk terus ke dalam cawan kopi panas anda.

Set Cawan Kopi Yang Bersesuaian

Setiap kopi memerlukan bekas, dan kadangkala cawan yang berpadanan untuk melakukan latte art dan sebagainya.

Jadi pertimbangkan untuk melabur dalam set cawan baharu untuk persediaan di rumah anda. Untuk penggunaan yang lebih praktikal, anda boleh memilih cawan atau mug jenis double wall. Ia biasanya direka dengan dua lapisan kaca atau plastik supaya mug tidak panas untuk disentuh.


Jika anda menggemari set cawan dengan piring yang biasa, anda juga boleh mendapatkan beberapa pilihan mug yang versatil melalui laman atas-talian Shopee.

Pengisar kopi

Jika mesin kopi anda memerlukan anda menggunakan serbuk kopi, anda perlu membeli mesin pengisar kopi.

Antara tips untuk mengurus kopi juga, adalah sebaiknya anda mengisar biji kopi sebelum anda ingin menggunakannya. Ini membolehkan biji kopi tersebut mengekalkan kesegarannya sekaligus menghasilkan secawan kopi yang lebih kuat dan kaya dengan rasa.


Jika boleh, simpan biji kopi anda dalam bekas kedap udara dan simpan di tempat yang sejuk dan gelap. Ini akan menjadikan mereka segar lebih lama.

Tips tambahan juga, anda kadangkala akan mengingkan sesuatu yang unik untuk kopi bergantung kepada suasana hati pada ketika itu. Oleh itu, sediakan set krim dan gula atau perasa tambahan seperti Hazelnut, Salted Caramel dan lain-lain untuk memudahkan anda menyesuaikan kopi setiap pagi bergantung pada apa yang anda idamkan pada hari itu.

BERKAITAN: Jimat Wang Besar

Komen