Berhadapan dengan jadual kerja yang padat, waktu perbincangan yang back-to-back pastinya akan menyebabkan ramai individu menangguhkan atau melewatkan waktu makan mereka.
Namun, tahukah anda tabiat ini sebenarnya boleh memberi kesan kepada kesihatan diri? Di dalam jurnal Cell Metabolism ada menyatakan bahawa makan lewat di siang hari akan menggandakan kemungkinan anda menjadi lebih lapar. Hal ini kerana, ia bukan sahaja mengakibatkan paras gula dalam badan menjadi rendah, tetapi turut boleh mengganggu emosi individu seperti berasa cepat marah, keliru dan keletihan.

Untuk pengetahuan anda, apabila makan lewat, badan akan mula meningkatkan pengeluaran kortisol, yang berkait rapat dengan perubahan hormon sehingga menyebabkan anda berasa tertekan dan lapar.
Melewatkan waktu makan juga boleh menyebabkan metabolisma anda menjadi perlahan, yang mana jika ia berlarutan, individu akan mengalami penambahan berat badan atau dalam kes lain, ia akan menyukarkan penurunan berat badan.

Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan pakar kesihatan menyarankan individu untuk merangka waktu makan yang konsisten. Dalam kajian yang dijalankan juga, penyelidik mendapati bahawa makan empat jam kemudian membuat perbezaan yang ketara untuk tahap kelaparan individu selain turut akan memberi kesan kepada cara tubuh memproses, membakar dan menyimpan lemak.
Bersama-sama perubahan ini, ia mungkin menjelaskan mengapa makan lewat dikaitkan dengan peningkatan risiko obesiti yang dilaporkan oleh kajian lain dan memberikan pandangan biologi baru ke dalam mekanisme asas.
Harus diingatkan juga, selain daripada melewatkan waktu makan, terdapat juga penyelidikan yang menunjukkan bahawa melangkau sarapan pagi dikaitkan dengan kecenderungan obesiti.