Selepas mengumumkan kehadiran dua model baharu yang bakal dilancarkan tahun 2022, Honda kini memperkenalkan Honda Certified Used Car (HCUC).
Untuk pengetahuan anda, HCUC merupakan sebuah program atau platform yang menawarkan kenderaan pra-milik Honda yang dijamin kualitinya. Setakat ini, Honda telah melantik enam pengedar sah dari wilayah berbeza yang terdiri daripada:
- MJN Motors Sdn. Bhd. (Selangor)
- Tiong Nam Motor (M) Sdn. Bhd. (Selangor)
- Kah Motor Co. Sdn. Bhd. (Pulau Pinang)
- Kah Motor Co. Sdn. Bhd. (Johor)
- Yong Ming Motor Sdn. Bhd. (Johor)
- Chuan Thye Motor Sdn. Bhd. (Pahang)
Namun, usah risau kerana Honda Malaysia dijangka akan mengembangkan penawaran HCUC secara berperingkat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran kereta terpakai di Malaysia.
Menurut Honda, penawaran produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi adalah bertujuan untuk memastikan semua kereta milik Honda, sama ada baharu atau pra-milik, memberikan pengalaman yang baik sepanjang penggunaan.
Di bawah HCUC, pelanggan boleh memilih model kereta terpakai Honda yang berbeza. Selain itu, untuk kesemua kereta terpakai ini berumur kurang daripada 5 tahun serta jarak yang telah dicapai adalah 100,000km dan ke bawah.
Bukan itu sahaja, Honda Malaysia memastikan bahawa kereta yang dijual di bawah perniagaan HCUC juga telah menjalani pemeriksaan 288 titik mata (288-points inspection) yang teliti yang dijalankan oleh Pemeriksa Bertauliah Honda. Ia meliputi keadaan enjin dan transmisi, sistem fungsi dan bahagian bawah kenderaan serta kemasan luaran dan dalaman.
Di samping itu juga, kesemua kereta terpakai ini dilengkapi dengan alat ganti tulen dan dijamin kereta tersebut tidak terlibat dengan kemalangan total-loss dan kerosakan banjir.
Pelanggan yang membeli kereta terpakai yang diperakui melalui HCUC layak mendapat jaminan tambahan satu tahun tambahan dan ditambah dengan jaminan sedia ada yang masih sah. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana daripada enam pengedar HCUC yang sah atau menghubungi nombor Bebas Tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020.