Nampaknya kini, Setel dilihat aktif dalam memperluaskan penawarannya yang mana mereka mula memperkenalkan sistem pembayaran parkir menggunakan imbasan nombor plat kenderaan iaitu, Setel Parking.
Bagi yang ingin menggunakannya, Setel telah mula mengaktifkan ikon Parking di aplikasi Setel. Anda hanya perlu pergi ke tab More > Parking dan kemudian tambah maklumat kenderaan anda di bahagian Vehicle.
Untuk pengetahuan anda juga, anda boleh menambah nombor plat kenderaan sehingga lima kenderaan untuk satu akaun. Selain itu, anda juga boleh memilih untuk mengaktifkan kenderaan untuk pembayaran atau sebaliknya.

Setakat ini, lokasi yang mula menawarkan pembayaran parkir menggunakan Setel Parking hanyalah di Suria KLCC sahaja. Namun, Setel dijangka akan mula memperluaskan penawaran Setel Parking di dua buah lokasi lain iaitu KLCC Convention Centre dan juga KLCC Lot 91 dalam masa terdekat.

Bagaimana Menggunakan Setel Parking?
- Untuk menggunakan Setel Parking, anda perlu melakukan imbasan nombor plat kenderaan sewaktu masuk ke kawasan parkir. Ia juga haruslah dilakukan di lorong khas Setel yang disediakan di lokasi tersebut.
- Sebaik sahaja imbasan nombor plat telah dilakukan, pagar akan mula dibuka dan caj akan mula dikenakan dan pemasa untuk mengira tempoh parkir akan mula berdetik.
- Akhir sekali, bayaran parkir akan dikenakan secara automatik sewaktu keluar.

Selain Setel Parking, Setel juga telahpun menambah servis penghantaran barang menerusi Setel Express. Melaluinya, anda boleh melakukan urusan pengambilan dan penghantaran bungkusan dengan caj penghantaran serendah RM5 di beberapa lokasi terpilih di sekitar Lembah Klang, Johor dan juga Pulau Pinang.