Berita baik untuk pengguna setia Setel, anda kini boleh mula tambah nilai Setel Wallet anda menerusi pembelian baucar di kaunter Petronas.
Untuk mula menggunakannya, anda hanya perlu kunjungi ke kaunter di kedai serbaneka Mesra dan buat pembayaran tunai kepada Krew Petronas di kaunter juruwang. Nilai baucar yang boleh dibeli adalah RM10, RM20, RM50 dan RM100.
Setelah melakukan pembelian, anda perlu menebus baucar di aplikasi Setel. Klik tab Pay dan tekan pilihan pembayaran Voucher Top-Up. Kemudian, isikan kod baucar dan tekan Redeem sebelum mula mengisi minyak.

Untuk pengetahuan anda, aplikasi Setel sebelum ini telahpun sedia menawarkan pilihan tambah nilai menggunakan perbankan atas talian dan juga dompet digital Boost. Namun, dengan pengenalan tambah nilai secara tunai ini, ia secara tidak langsung telah membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna sewaktu ingin mengisi nilai yang diinginkan di dalam Setel Wallet mereka.
Selain menggunakan Setel Wallet untuk pembelian bahan api di stesen minyak, anda juga boleh membuat pembayaran parkir di lokasi Setel Parking terpilih. Setakat ini, Setel Parking ditawarkan di Suria KLCC terlebih dahulu sebelum akan diperluaskan di seluruh negara.