Baru-baru ini, Rnggt telah melaporkan bahawa kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan telah dilupuskan negara setiap hari. Dan apa yang mengejutkan adalah, jumlah pembaziran ini sebenarnya berupaya memberi manfaat makanan kepada 3 juta rakyat Malaysia sekiranya tidak dibazirkan.

Oleh sebab itu, bersempena bulan Ramadan yang bakal tiba ini, Tajria ingin berkongsi 3 amalan yang perlu anda praktikkan bagi memastikan pengurusan makanan yang lebih baik di sepanjang bulan ini.

Lakukan Pembelian Bahan Mentah Lebih Kerap

Untuk memastikan rumah anda menawarkan bekalan makanan yang mencukupi di samping mengurangkan risiko pembaziran, pastikan anda tidak membeli atau mendapatkan barangan mentah lebih daripada apa yang diperlukan.

Hal ini kerana, jika anda membeli ayam, ikan, sotong, daging, sayuran dan sebagainya pada kuantiti yang berlebihan, sudah tentu anda tidak dapat menghabiskannya dalam tempoh yang singkat selain menghidangkannya sewaktu ia masih segar.

Tabiat ini sekaligus akan mendorong pembaziran dan memerlukan anda untuk membeli bahan-bahan yang baru pada lain waktu bagi mendapatkan hasil yang lebih segar.

Oleh itu, hadkan pembelian anda yang mana hanya dapatkan sesuatu bahan atau barang sekiranya anda benar-benar memerlukan sahaja.

Elak Daripada Membungkus Hidangan Dari Luar Dan Bawa Pulang Ke Rumah

Seterusnya, pastikan anda tidak membawa pulang atau membungkus makanan yang tidak dihabiskan sewaktu dimakan di luar ke rumah. Hal ini kerana, bagi segelintir individu yang melakukan sedemikian, mereka cenderung untuk tidak makan semula hidangan tersebut dan hanya membiarkannya lama di dalam peti sejuk.

Jadinya, amalkan tabiat yang mana makanan yang dimakan di kedai atau restoran haruslah dihabiskan di tempat berkenaan supaya tidak berlaku situasi yang mana anda beranggapan anda ingin menikmatinya semula di rumah.

Masak Hidangan Yang Paling Lama Duduk Di Dalam Peti Sejuk

Satu cara untuk mengurangkan pembaziran makanan adalah dengan memasak dan makan makanan paling lama di dalam peti sejuk atau kabinet anda terlebih dahulu.

Jika dilihat dari sudut tempoh pembelian, anda akan mengurangkan risiko makanan tersebut rosak sebelum dapat dimasak. Bukan itu sahaja, tetapkan peraturan yang mana anda perlu memasak menggunakan bahan tersebut sekurang-kurangnya 3 hari selepas tempoh pembelian.

Selain itu, sekiranya anda mempunyai bilangan ahli rumah yang kecil, amalkan penyediaan makanan yang tidak berlebihan bagi mengurangkan penghasilan sisi makanan. Dan ingat, anda juga tidak semestinya perlu menyediakan makanan yang benar-benar unik setiap hari. Tidak salah untuk melakukan perkara yang sama untuk makan malam dua malam berturut-turut.

Berikut adalah 3 tabiat yang perlu anda amalkan sebelum memasuki bulan Ramadan kelak. Ia bertujuan untuk mendidik anda menguruskan bahan mentah di dalam peti sejuk dengan lebih baik. Jika anda terpaksa membuang makanan, adalah lebih baik anda menyediakan kompos daripada membuangnya ke dalam tong sampah.

Anda boleh mulakan penyediaan kompos dengan melonggokkannya di belakang rumah anda. Sekiranya anda tidak berkebun, dermakan kompos anda kepada taman sekolah atau komuniti.

Baca juga: Sediakan Bahan Kompos Untuk Tanaman – Menggunakan Lebihan Makanan Di Peti Sejuk