Apabila pertama kali melihat Samsung Galaxy A53 5G, mata penulis sudah tertawan dengan warna peranti yang ditampilkan kali ini iaitu Awesome Peach.
Menampilkan vibes seperti musim panas, warna Awesome Peach ini merupakan warna yang baharu ditampilkan pada model siri Galaxy A kali ini. Dilengkapkan dengan kemasan kusam (matte) pada belakang peranti, ia menjadikan pengalaman memegangnya lebih selesa tanpa perlu risau akan kesan cap jari tertinggal pada kerangka.
Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai peranti, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda pengalaman pertama kali memegang dan menggunakan Samsung Galaxy A53 5G selepas ia dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
Jadi, mampukah Samsung Galaxy A53 5G memenuhi keperluan Tajria ini?
Persepsi Awal Untuk Rekaan Peranti
Berbeza dengan Samsung Galaxy A52 yang pernah Tajria guna sebelum ini, Samsung Galaxy A53 5G tidak disertakan dengan kepala pengecas di dalam kotak. Sewaktu penulis melakukan nyah-kotak, ia hanya menampilkan wayar pengecas bersama-sama dengan manual penggunaan pengguna sahaja.
Pertama kali Tajria memegang Samsung Galaxy A53 5G, ia semestinya memberikan pengalaman yang baru terutamanya dari segi paparan imej yang jelas menggunakan panel skrin SAMOLED bersama kadar segar semula yang lebih tinggi iaitu 120Hz.
Walau bagaimanapun, untuk keseluruhan rekaan peranti, ia masih mengekalkan binaan yang sama dengan model sebelum ini. Antaranya, jika anda lihat pada skrin hadapan, ia menampilkan kehadiran bezel yang nipis, skrin yang rata bersama-sama dengan kamera yang ditempatkan di bahagian tengah-tengah skrin.
Bukan itu sahaja, Samsung Galaxy A53 5G turut masih menawarkan pengimbas cap jari di bawah skrin. Cuma apa yang berbeza pada kali ini adalah Samsung kini tidak lagi meletakkan sokongan bicu audio pada peranti dan menggantikannya dengan tempat letak sim pada bersebelahan dengan port pengecas.
‘Awesome’ Kamera Pada Samsung Galaxy A53
Menarik mengenai siri Galaxy A kali ini, Samsung dilihat telah menambahbaik pengalaman penggunaan kamera dan juga suntingan rakaman yang lebih ‘awesome’ kepada pengguna.
Samsung Galaxy A53 5G hadir dengan sistem kuad-kamera dengan lensa utama 64MP dengan OIS (Optical Image Stabilization). Ia juga turut disokong oleh lensa sudut lebar 12MP, lensa makro 5MP dan juga sensor kedalaman untuk potret 5MP. Melengkapkan kamera adalah teknologi VDIS yang mampu mengambil gambar yang jelas dan mantap pada setiap masa di sebarang situasi.
Tidak Perlu Buka Aplikasi Untuk Sunting Video Slow-Mo
Melihat kepada mod rakaman yang ditampilkan di dalam peranti, antara pilihan yang menarik perhatian adalah mod Super Slow-Mo yang mana ia akan merakam video berdurasi 8 saat dan akan menghasilkan rakaman video gerak perlahan. Untuk pengetahuan anda, setiap aksi dirakam pada 960 fps, iaitu empat kali lebih pantas daripada gerakan perlahan biasa.
Sekiranya anda ingin menggunakan mod ini, anda hanya perlu buka aplikasi Camera>More dan pilih mod Super Slow-mo.
Suntingan Gambar Lebih ‘Fun’ – Penuras Snapchat Dan Photo Remaster
Dalam sistem kamera Samsung Galaxy A53 5G ini juga, penulis turut tidak ketinggalan mencuba penuras Snapchat secara terbina. Berdasarkan penggunaan pertama untuk fungsi ini, ia boleh dikatakan agak menarik kerana kesan penuras yang ditampilkan keluar dengan pantas walaupun tidak disambungkan pada internet.
Sekiranya anda tidak berminat untuk menggunakan Snapchat, anda masih lagi boleh mendapatkan gambar yang lebih menarik dengan cara menyunting gambar anda menggunakan Photo Remaster. Melalui ciri ini, anda berupaya memberi nafas baharu kepada foto lama dan berkualiti rendah selain memadam objek yang mengganggu pada latar belakang gambar.
‘Awesome’ RAM Plus Untuk Sokongan Memori Tambahan
Seterusnya, Samsung Galaxy A53 5G baharu ini juga sudahpun mula menyokong sistem RAM Plus. Melaluinya, penulis boleh menambah memori sebanyak 2GB, 4GB dan 6GB mengikut keperluan prestasi sewaktu menyelesaikan sesuatu tugasan.
Untuk menambah RAM pada peranti, berikut adalah langkah yang perlu anda lakukan:
- Pergi ke Settings peranti anda.
- Klik Battery and Device Care.
- Kemudian, pilih Memory dan tetapkan RAM yang diinginkan.
Setakat ini, penulis masih belum mencuba sepenuhnya sokongan RAM tambahan ini. Namun berdasarkan ulasan kebanyakan pengguna yang lain, ciri ini semestinya memberikan peningkatan maksima lebih-lebih lagi jika anda seorang pemain permainan video yang tegar atau sering membiarkan aplikasi terbuka ketika bermain peranti.
‘Awesome’ Bateri Untuk Penggunaan Tempoh Lama
Untuk bateri yang ditawarkan pada Samsung Galaxy A53 5G, ia dilengkapi bateri berkapasiti 5,000 mAh bersama sokongan pengecasan pantas 25W. Dengan penawaran bateri yang lebih besar, tempoh penggunaan peranti dijangka menawarkan jangka hayat bateri sehingga dua hari lamanya.
Nampaknya, kini penulis tidak lagi perlu membawa powerbank yang berat di dalam beg dan boleh menikmati penstriman video yang lebih lancar dan juga lebih lama.
Pada pendapat penulis sendiri, Samsung Galaxy A53 5G sememangnya hadir dengan rekaan dan barisan spesifikasi yang menarik. Ia bukan sahaja melengkapkan gaya moden yang ingin ditampilkan oleh para individu masa kini, malah ia turut menawarkan beberapa fungsi yang mampu memikat hati.
Jadi, apa pula pendapat anda tentang penawaran peranti terbaru daripada Samsung ini? Adakah ciri yang ditawarkan menepati pilihan anda? Nantikan ulasan Samsung Galaxy A53 5G dalam artikel seterusnya.