Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk menyediakan juadah buka puasa di rumah sepanjang bulan Ramadan ini, Tajria ingin berkongsi 30 pilihan tempat yang boleh anda kunjungi setiap hari yang merangkumi pilihan bazar dan bufet di beberapa kawasan terpilih yang boleh anda lawati.

Untuk bazar hari ini, jangan ketinggalan untuk menikmati dan mendapatkan juadah kegemaran anda di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya.

Di bazar ini, ia menyajikan sehingga 1000 pilihan juadah yang merangkumi sama ada makanan tradisional tempatan, hidangan dari negara Timur Tengah dan Barat serta banyak lagi. Ketika berada di bazar tersebut, mata kami sempat mengerling dan melihat ke khemah ayam golek, ayam madu, daging bakar, sup, mi goreng dan banyak lagi.

Ia turut membawakan hampir puluhan jenis air minuman yang boleh anda nikmati seperti jus buah-buahan, minuman bersusu, air katira, ais kepal dan banyak lagi. Untuk anda yang ingin mendapatkan hidangan pelengkap seperti kuih-muih tradisional, pastikan anda berjalan hingga ke hujung bazar supaya dapat membawa pulang juadah yang diingini.

Ketika berada Bazar Ramadan Putrajaya ini, perlaksanaan SOP di sekitar kawasan bazar adalah memuaskan. Pihak berkuasa bazar menggunakan sistem kad yang mana setiap pengunjung perlu menunggu giliran untuk masuk. Oleh yang demikian, anda tidak perlu bersesak dan berebut di celah-celah pengunjung lain sewaktu membeli juadah.

Bagi anda yang pertama kali berkunjung ke Bazar Ramadan Putrajaya ini, waktu operasi bazar ini adalah bermula 3 petang sehingga 8.00 malam. Yang mana waktu puncak untuk bazar ini adalah sekitar jam 5 petang hingga 7 malam. Jadinya, apabila anda tiba lewat di bazar berkenaan, kebarangkalian anda perlu menunggu dan beratur pasti lebih lama sebelum dapat masuk ke kawasan jualan.

Pada pengalaman kami sewaktu tiba di bazar sekitar jam 6.45 petang tempoh hari, ia boleh dikatakan agak terkilan kerana hampir kebanyakan juadah dari beberapa kedai sudah mula memperlihatkan periuk dan dulang hidangan yang kosong. Perkara mungkin disebabkan jumlah pengunjung yang ramai pada hari pertama Ramadan.

Oleh itu, jika anda yang ingin mengunjungi Bazar Ramadan Presint 3, anda dinasihatkan untuk tiba lebih awal supaya boleh menerokai lebih banyak pilihan juadah untuk berbuka puasa.

Sumber gambar: Liyana Samsudin

Sekiranya anda mempunyai cadangan bufet Ramadan menarik yang lain di seluruh Malaysia, jangan lupa untuk kongsikan bersama pembaca Tajria. Anda hanya perlu pergi ke halaman utama Tajria dan klik ‘Tulis’.