Menerusi acara OLDTOWN Kopitiam Carnival yang telah berlangsung di Sunway Pyramid tempoh hari, jenama ini dilihat telah berkongsi beberapa perancangan dalam memperluaskan sasaran pembeli mereka.

Tidak hanya tertumpu kepada jualan langsung di restoran, OLDTOWN mula mendedahkan perancangan baharu untuk tahun 2022. Ia termasuk pelan mengubahsuai rekaan dalaman restoran, menu rasmi yang baharu serta prototaip terkini mesin layan diri dan OLDTOWN EXPRESS.

Berdasarkan perkongsian mereka kepada Advertising + Marketing (A+M), restoran OLDTOWN pertama dengan rekaan dalaman yang baharu akan dilancarkan sekitar Mei 2022.

Pelancaran semula restoran ini dilihat bertujuan untuk membawakan pengalaman makan di kedai yang lebih selesa dan selamat selain menarik lebih ramai pelanggan muda untuk berkunjung sambil menikmati hidangan yang lazat sepanjang waktu.

Selari dengan itu, OLDTOWN turut akan memperbaharui pakaian seragam pekerja mereka agar kelihatan lebih segar dan berkeyakinan tinggi sewaktu menyajikan hidangan kepada pelanggan.

Terdapat juga pelbagai inisiatif lain yang akan diilancarkan dalam beberapa fasa termasuk mesin layan diri. Berdasarkan prototaip yang mereka tampilkan, mesin ini memfokuskan kepada hidangan minuman segera mereka seperti OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1 serta minuman tin yang dijangka akan memudahkan pelanggan membuat pesanan dengan lebih tepat dan pantas.

Bagi yang tidak mengetahui, OLDTOWN sebelum ini telahpun membuka beberapa cawangan OLDTOWN Express. Ia merupakan kiosk kopitiam yang membawakan konsep pembelian sajian ‘Ready & Go‘ yang akan memenuhi keperluan trend minuman dalam kalangan pelanggan muda.

Sumber: A+M