Carian
Apa Yang Perlu Anda Tahu – Jika Ingin Menderma Darah Ketika Berpuasa
April 7, 2022 Lina Rosli

Tahukah anda, hampir setiap hospital dan pusat kesihatan di seluruh negara sering mengalami kemerosotan bekalan darah? Ia disebabkan kadar pesakit yang memerlukan darah juga adalah tinggi menjadikan kebergantungan terhadapnya turut meningkat.

Berdasarkan ciapan Twitter Pusat Darah Negara Malaysia (PDN) baru-baru ini, bekalan darah untuk kumpulan darah O- dan B dikatakan berada di dalam tahap yang rendah dan amat diperlukan. Oleh sebab itu, orang ramai diajak untuk bersama-sama membantu meningkatkan kembali jumlah bekalan darah bagi menyelamatkan pesakit yang memerlukan.

Menurut perkongsian PDN lagi, kutipan darah telah menurun secara drastik sejak memasuki bulan Ramadan. Faktor kepada permasalahan ini mungkin melibatkan kebimbangan orang ramai akan komplikasi yang bakal dialami sekiranya mereka menderma darah ketika sedang berpuasa.

Jadinya, bagi memastikan anda berada di dalam keadaan sihat selain mengurangkan risiko buruk ketika menderma darah, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda perkara yang perlu anda tahu sekiranya anda ingin menderma darah ketika berpuasa.

Apa Yang Perlu Anda Tahu – Jika Ingin Menderma Darah Ketika Sedang Berpuasa

Untuk kekal sihat dan segar, pertimbangkan untuk mendapatkan hidangan makanan dan minuman yang memberikan tenaga sebelum mula menderma darah.

Anda juga disarankan untuk melewatkan waktu sahur iaitu sekitar jam 4.00 hingga 5.30 pagi supaya tubuh anda mendapat bekalan tenaga yang mencukupi sepanjang hari. Elakkan daripada bersahur terlalu awal kerana bimbang makanan yang diambil telah diproses sepenuhnya sebelum anda menderma darah.

Selain itu, KKM mengesyorkan kepada anda untuk tiba di pusat derma lebih awal dan mula menderma darah kira-kira 4 jam selepas bersahur. Sebagai contoh, sekiranya anda bersahur pada jam 5.30 pagi, anda boleh menderma darah seawal jam 9.30 pagi.

Namun, sekiranya anda penderma darah kali pertama, adalah tidak dibenarkan untuk menderma darah kerana anda tidak mengetahui toleransi tubuh anda terhadap aktiviti berkenaan. Manakala, untuk yang sudah menderma beberapa kali sebelum ini dan tidak mengalami sebarang masalah yang meragukan, kehadiran anda untuk menderma darah adalah amat dialu-alukan.

Selari dengan hukum menderma darah ketika berpuasa, Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan telah mengatakan bahawa ia adalah harus. Ia bermaksud anda boleh melakukan derma darah ketika berpuasa dan ia tidak membatalkan puasa secara umumnya.

Walau bagaimanapun, sekiranya aktiviti menderma darah boleh melemahkan tubuh badan maka hukumnya adalah makruh.

Waktu Operasi Pusat Derma Darah

Bagi anda yang berminat untuk menderma darah, terdapat beberapa lokasi pusat derma yang beroperasi sehingga jam 9 malam, iaitu:

  • Pusat Darah Negara Jalan Tun Razak – 7.30 pagi sehingga 9.00 malam
  • Mid Valley Megamall Level 3 (Bersebelahan Daiso Japan) – 10.00 pagi sehingga 9.00 malam
  • 1 Utama Shopping Centre B2 (New Wing) – 10.00 pagi sehingga 7.00 malam
  • Suite Derma Darah Puspanita, Presint 16, Putrajaya – 2.00 petang sehingga 8.30 malam
  • Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul – 6.00 petang hingga 11.00 malam
  • Giant Hypermarket Kelana Jaya, L1 – 10.00 pagi sehingga 7.00 malam
  • Damansara City Mall, L1 (Berdekatan Mr.DIY) – 11.00 pagi sehingga 4.00 petang

Baca juga: Pernah Derma Darah? Ini Senarai Keistimewaan Rawatan Yang Boleh Anda Nikmati

Sumber: MKN, Facebook PDN

Komen