Pada 12 Mei 2022 yang lepas, Sepanyol telah hadir dengan draf undang-undang yang mencadangkan pengenalan cuti sakit bagi pekerja wanita yang mengalami sakit haid yang teruk.
Di dalam draf tersebut, cuti sebanyak 3 hari akan diberikan kepada pekerja wanita yang mengalami masalah sakit haid yang teruk dan telah mendapat sokongan dari doktor rawatan.
Selepas 5 hari perbincangan dilakukan, Kabinet Sepanyol nampaknya telah meluluskan draf undang-undang yang memberikan pekerja hak untuk mengambil cuti sakit bergaji kerana sakit haid yang teruk.

Kini, hanya perlu menunggu dan memperoleh kelulusan daripada Parlimen. Sekiranya ia diterima, Sepanyol dilihat akan menjadi negara Eropah pertama yang mempunyai undang-undang yang membenarkan pekerja wanita mendapatkan cuti haid berbayar.
Untuk pengetahuan anda, sebelum ini pada tahun 2016 yang lalu, satu cadangan telah dikemukan oleh empat penggubal undang-undang Itali tetapi ia gagal dimajukan di parlimen serta mendapat banyak tentangan daripada sesetengah pihak.
Setakat ini, hanya segelintir negara sahaja yang membenarkan cuti berbayar ini dan dua daripadanya adalah Korea Selatan dan Indonesia.