Sebelum ini, akaun Twitter rasmi Setel telahpun berkongsi imej acah tentang pengenalan sokongan pengecasan kenderaan elektrik melalui aplikasi Setel.

Nampaknya, aplikasi berkenaan dilihat mula mengemaskini senarai stesen yang boleh anda kunjungi untuk mendapatkan sokongan berkenaan berserta harga per kW. Di bawah adalah senarai lokasi berserta pengecas yang tersedia di Setel:

  1. Lotus’s Kepong – Jenis 2 (7.4kW)
  2. EV Connection Workshop – Jenis 2 (22kW)
  3. ACO HQ Johor Bahru – CCS (180kW)
  4. Carsome PJ Automall – CHAdeMO, CCS, Jenis 2 (50kW)
  5. Shangri-La’s Rasa Sayang Resort Penang – CHAdeMO, CCS, Jenis 2 (50kW)

Berikut adalah cara untuk menggunakan aplikasi Setel bagi mendapatkan servis pengecasan kenderaan elektrik anda:

  1. Kunjungi ke lokasi terpilih yang menawarkan stesen pengecasan elektrik.
  2. Sama seperti anda melakukan pembelian bahan api menggunakan aplikasi Setel, anda boleh memilih stesen pengecas yang tersedia dan yang serasi dengan kenderaan anda.
  3. Kemudian, aktifkan sesi mengecas dan mulakan pengecasan dengan memasang kabel pada kedua-dua pengecas dan kenderaan.
  4. Semak status pengecasan anda pada bila-bila masa dan lihat kadar pengecasan.
  5. Untuk menghentikan pengecasan, buka kunci penyambung daripada kereta, kunci kereta atau pengecas dan seterusnya cabut palam penyambung daripada kenderaan dan pengecas.
  6. Tebus dan nikmati mata ganjaran Mesra bagi setiap sesi yang dilakukan.

Berdasarkan rajah yang dikongsikan Setel juga, caj yang dikenakan bagi setiap lokasi adalah berbeza. Ia menunjukkan dua lokasi yang menawarkan pengecasan secara percuma iaitu di EV Coonection Workshop dan ACO HQ Johor Bharu. Sementara 3 lagi stesen yang lain pula menawarkan caj serendah RM0.50 untuk setiap 15 minit pengecasan.

Harus diingatkan juga, setakat ini, anda boleh membayar untuk pengecasan EV di Setel dengan menggunakan Setel Wallet anda. Pada masa hadapan, mereka dijangka akan menawarkan lebih banyak kaedah pembayaran untuk pengecasan kenderaan elektrik.

Bergerak ke hadapan, Setel dijangka akan memperluaskan lagi penawaran lokasi pengecasan kenderaan elektrik dengan lebih meluas. Di samping penawaran pembelian bahan api menerusi aplikasi, Setel turut hadir dengan sistem pembayaran parkir menggunakan nombor plat yang kini telah diperkenalkan terhad di Suria KLCC terlebih dahulu.