Melakukan pesanan di kaunter kadangkala boleh dikatakan agak membebankan. Lebih-lebih lagi sekiranya restoran yang anda kunjungi mempunyai barisan yang panjang sebelum tiba ke giliran anda.
Oleh sebab itu, kebanyakan restoran makanan segera kini mula memperkenalkan penawaran servis yang lebih mudah dan selesa seperti membenarkan pelanggan untuk melakukan pesanan terus sejurus selepas tiba di ruangan makan.
Sebelum ini, McD telahpun memperkenalkan ciri Order & Collect yang mana anda hanya perlu mengimbas kod QR pada setiap meja untuk melakukan pesanan. Kini, KFC juga turut tidak ketinggalan dalam hadir dengan servis pesanan melalui imbasan kod QR di meja yang dinamakan Imbas Dan Pesan.

Melalui ciri Imbas Dan Pesan ini, anda hanya perlu mengimbas kod QR dan kemudiannya memesan terus makanan kegemaran anda melalui peranti pintar. Anda juga turut akan diberi pilihan sama anda ingin makan di kedai atau bungkus dan bawa pulang untuk setiap pesanan yang dilakukan.
Dari segi pembayaran pula, pesanan KFC Imbas Dan Pesan ini menyokong transaksi secara tunai, menggunakan kad debit dan kredit ataupun menerusi dompet digital GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, ShopeePay, QR Pay dan Boost.

Untuk mencubanya, anda boleh kunjungi ke rangkaian restoran KFC berdekatan anda dan nikmati pengalaman memesan makanan yang lebih mudah dan pantas.