Sekitar minggu ini, kebanyakan kawasan di seluruh Malaysia sudah mula menampilkan kemeriahan aktiviti jual dan beli durian. Tidak kira sama ada secara fizikal ataupun atas-talian, anda boleh melihat para penggemar durian sudah mula mendapatkan durian untuk dinikmati bersama keluarga dan kenalan.
Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis durian yang boleh anda nikmati. Ia termasuklah durian kampung, Musang King, Udang Hitam, IOI, D24 dan banyak lagi. Malah, di Indonesia, mereka turut hadir dengan durian jenis tanpa duri yang dikenali sebagai Thornless Durian.

Baru-baru ini, dua lagi jenis durian yang baharu telah ditemui di Kedah iaitu D216 dan D217. Kedua-duanya telah didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kedah (JPNK) sejak tahun 2021 dan dikomersialkan sebagai D216 J Sparrow dan D217 Jerai.
Menurut JPNK, durian D216 dan D217 ini ditanam di dusun durian di Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong yang terletak di Sungai Petani Kedah.
Jika dibandingkan dengan baka durian yang lain, bentuk durian J Sparrow adalah bulat serta memperlihatkan tangkai yang pendek dan duri yang disusun secara jarang. Dihujung duri pula mempunyai warna ungu cerah. Bahagian isinya pula berwarna terang yang seakan warna kuning pekat. Namun, tidak mengeluarkan aroma yang terlalu kuat apabila dibuka. Dari segi purata kemanisan, ia bernilai sekitar 35.3% Brix dan tidak memberikan rasa yang terlalu pahit.
Manakala durian Jerai, warna isinya adalah kuning muda dan mempunyai aroma yang kuat. Dari segi purata kemanisan, durian Jerai menampilkan nilai kurang 0.3% berbanding durian J Sparrow tetapi hadir dengan rasa berkrim yang kuat.
Sekiranya anda ingin menikmati kedua-dua durian ini, harga jualannya adalah sekitar RM35 hingga RM45 bagi sekilogram bagi durian J Sparrow manakala RM20 hingga RM35 sekilogram bagi durian Jerai.
Sumber: Bernama, JPNK