Berdasarkan laporan WHO, kadar berat badan berlebihan dan obesiti terus meningkat dalam kalangan orang dewasa dan juga kanak-kanak.

Bermula dari tahun 1975 hingga 2016, jumlah kanak-kanak dan remaja yang berumur 5 hingga 19 tahun yang mempunyai berat badan berlebihan atau obese telah meningkat lebih empat kali ganda daripada 4% kepada 18% di seluruh dunia.

Penyelidikan yang diterbitkan jurnal Pediatrics pada 5 Julai yang lalu, terdapat dua kumpulan kanak-kanak sekitar umur 6 hingga 11 tahun yang telah dikaji. Kumpulan pertama dikaji dari 1998 hingga 2004, dan kumpulan kedua dikaji dari 2010 hingga 2016.

Perbezaan antara kedua-dua kumpulan sangat ketara yang mana sekitar 16.2% kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah berat badan semasa mereka memasuki tadika pada tahun 2010 jika dibandingkan dengan 15.5% peserta dalam kategori BMI yang sama yang bermula pada tahun 1998.

Selain itu, kanak-kanak yang belajar pada tahun 2010 menjadi obes pada usia yang lebih muda daripada kanak-kanak terdahulu dalam kumpulan 1998.

Perkara ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar yang mana sebaik sahaja kanal-kanak mengalami pertambahan berat badan secara berlebihan, ia akan menjadi sesuatu yang amat sukar untuk dikawal dan diubah. Oleh itu, langkah pencegahan berat badan berlebihan dan obesiti sejak awal adalah sangat penting.

Bagi yang tidak mengetahui, obesiti berlaku apabila seseorang mengalami pengumpulan lemak berlebihan sehingga boleh menimbulkan risiko kesihatan. Orang dewasa yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang dikira berdasarkan ketinggian dan berat badan melebihi 30 dianggap obese.

Namun, untuk kanak-kanak, obesiti tidak dapat diukur dengan tepat menggunakan pengiraan BMI kerana ia tidak menganggarkan komposisi badan selain turut tidak dapat membezakan antara lemak dan otot pada kanak-kanak.

Maka untuk mengukur tahap obesiti kanak-kanak, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit mencadangkan perlaksanaan ujian perbandingan dengan kanak-kanak lain yang berada dalam kategori umur dan jantina yang sama.

Sebagai contoh, budak lelaki berumur 10 tahun dengan ketinggian purata 142cm yang beratnya 46kg akan mempunyai BMI sebanyak 22.9 kg/m2. Ini akan meletakkan budak lelaki tersebut dalam persentil ke-95 untuk BMI, dan dia akan dianggap sebagai mengalami obesiti.

Ini bermakna BMI kanak-kanak adalah lebih besar daripada BMI sebanyak 95% kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun dalam populasi rujukan.

Antara sebab yang mendorong kepada peningkatan berat badan termasuklah:

  • Kurang akses kepada makanan sihat
  • Tidak menjalankan aktiviti fizikal
  • Tahap pengangguran yang lebih tinggi
  • Pendedahan kepada nilai kesihatan adalah rendah

Baca juga: Tinggal Sarapan Pagi, 74% Remaja Menghadapi Obesiti – Lihat Kesan Lain Jika Anda Tinggalkan Sarapan Pagi