Setel Parking Kini Menambah Ciri Membayar Parkir Jalanan Menggunakan Setel Pay

July 25, 2022
Setel

Lina Rosli

Sebelum ini, Setel telah memperkenalkan sistem pembayaran parkir menggunakan imbasan nombor plat kenderaan iaitu, Setel Parking, untuk pembayaran tiket di tempat letak kenderaan.

Terbaru, mereka telah memperluaskan penawaran mereka dengan menambah ciri baharu untuk pembayaran parkir di jalanan iaitu Street Parking dengan caj hanya RM0.50 untuk satu jam.

Buat masa ini, ciri Street Parking belum ditawarkan secara meluas dan hanya tiga Majlis Pembandaran sahaja yang mula mengambil bahagian iaitu:

  • Majlis Bandaraya Subang Jaya
  • Majlis Pembandaran Kuala Langat
  • Majlis Pembandaran Teluk Intan

Bagaimana Menggunakan Ciri Street Parking?

Untuk menggunakannya, anda hanya perlu memuat-turun aplikasi Setel di App Store atau Play Store dan pilih ikon Setel Parking> pilih Street Parking.

Kemudian, pilih lokasi tempat kenderaan anda dan juga kenderaan yang anda gunakan. Selepas iut, tentukan jam parkir sama ada 1 jam (RM0.50), 2 jam (RM1.00), 3 jam (RM1.50) dan terus melakukan pembayaran menggunakan dompet Setel Pay.

Sekiranya anda telah sedia menggunakan ciri Setel Parking untuk pembayaran di tempat letak kenderaan Suria KLCC ataupun Kompleks Dayabumi, bilangan kenderaan yang telah didaftarkan akan terus disenaraikan untuk kegunaan Street Parking.

Namun, bagi yang pertama kali menggunakan Setel Parking, anda perlu menambah maklumat kenderaan dahulu.

Untuk pengetahuan anda, bagi satu-satu akaun, pengguna boleh menambah nombor plat kenderaan sehingga lima kenderaan. Selain itu, anda juga boleh memilih untuk mengaktifkan kenderaan untuk pembayaran atau sebaliknya.

Selain Setel Parking, Setel turut menawarkan servis penghantaran barang menerusi Setel Express. Melaluinya, anda boleh melakukan urusan pengambilan dan penghantaran bungkusan dengan caj penghantaran serendah RM5 di beberapa lokasi terpilih.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd