Sudu Dan Garpu Bioplastik Akan Diperkenalkan Di Jepun – Dihasilkan Daripada Bahan Berasaskan Beras
Lina Rosli
Pengendali rangkaian Mos Burger iaitu Mos Food Services dilihat bakal hadir dengan sudu dan garpu bioplastik yang diperbuat daripada bahan berasaskan beras.
Pengenalan set kutleri makanan yang berasaskan beras ini bertujuan untuk memperkasakan lagi inisiatif penggunaan produk yang tidak dihasilkan daripada plastik.
Untuk pengetahuan anda, perhasilan produk kutleri berasaskan beras bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum ini, ramai dalam kalangan penyedia makanan sudahpun mempraktikkan penggunaan straw berasaskan beras untuk pelanggan.

Jika di Malaysia, antara jenama yang telah hadir dengan kutleri berasaskan beras ini termasuklah Zus Coffee dan juga The Coffee Bean And Tea Leaf. Secara umumnya, setakat ini impak kepada alam sekitar masih lagi belum dapat dikenalpasti.Namun, inisiatif dilihat sedikit sebanyak membantu mengurangkan penjanaan sisa plastik di kebanyakan restoran yang tidak hanya di Malaysia dan Jepun, tetapi juga di kebanyakan negara yang lain.
Menurut laporan Asia Nikkei, kutleri bioplastik ini akan mula dilancarkan bermula Ogos ini dan akan disediakan di semua 1,250 lokasi di seluruh Jepun mulai Oktober.
Setakat ini, penyediaan sudu dan garpu logam masih lagi ditawarkan oleh Mos Burger. Namun, ia hanya untuk pelanggan yang menjamu selera di kedai sahaja. Selari dengan itu, Jepun juga turut melaksanakan undang-undang yang menggalakkan kitar semula plastik yang akan berkuatkuasa April 2022, yang mana kelak peralihan dari sudu logam ke bioplastik akan berkembang dengan lebih meluas.