Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi kepada anda akan inisiatif yang ditawarkan oleh Lotuss dalam memastikan pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan dari masa ke semasa dengan cara menyediakan tempat kitar semula yang lebih mudah untuk diakses.

Untuk pengetahuan anda, KLEAN merupakan Mesin Kitar Semula Balikan (Reversed Vending Machine) yang telahpun diperkenalkan sejak tahun 2021 yang lepas.

Di sepanjang pengenalan ini, anda bukan sahaja dapat melupuskan botol dan tin yang tidak lagi dipakai tanpa perlu mengunjungi tapak kitar semula yang jauh, tetapi melaluinya, anda boleh menjana ganjaran yang lumayan bagi setiap aktiviti kitar semula.

Antara ganjaran yang boleh anda dapatkan termasuklah menebus tiket kemasukan ke Taman Tema Tertutup Skytropolis secara percuma.

Bagaimana untuk mendapatkannya?

Apa yang boleh anda lakukan adalah, kumpul sebanyak mungkin tin atau botol minuman kosong anda dan kitar semula mereka di Mesin Kitar Semula Balikan KLEAN.

Bagi setiap tin minuman kosong atau botol PET dimasukkan ke dalam mesin layan diri tersebut, anda akan menerima 10 mata ganjaran KLEAN. Dan sekiranya anda mengumpulnya lebih banyak, anda berpeluang mendapatkan tiket ke Taman Tema Tertutup Skytropolis secara percuma.

  • 50 mata ganjaran KLEAN – Anda boleh mendapatkan 1 tiket bayar setiap perjalanan di Taman Tema Tertutup Skytropolis
  • 100 mata ganjaran KLEAN – Anda boleh mendapatkan Beli 1 Percuma 1 pas untuk perjalanan 1 hari tanpa had di Taman Tema Tertutup Skytropolis

Cara Untuk Menggunakan Mesin Layan Diri Balikan KLEAN

Untuk mula menggunakannya:

  1. Muat turun aplikasi Klean The World di App Store atau Play Store, dan daftarkan butiran anda.
  2. Tekan ‘Recycle Now‘ pada RVM.
  3. Masukkan sehingga 10 botol atau tin kosong ke dalam RVM.
  4. Klik ‘Finish‘ dan imbas kod QR untuk menebus mata ganjaran Klean.
  5. Sekiranya anda tidak mempunyai aplikasi Klean, andajuga boleh masukkan nombor mudah alih anda untuk mendapatkan ganjaran.

Sekiranya anda tidak mahu menuntut mata KLEAN, cuma klik “BATAL” pada mesin layan diri untuk kembali ke skrin utama.

Anda boleh menyemak ganjaran anda pada aplikasi mudah alih KLEAN. Sebaik sahaja anda memperoleh mata ganjaran KLEAN yang mencukupi untuk layak menerima ganjaran, anda mesti menebus dan menggunakan ganjaran dalam masa 24 jam.

Mudah bukan? Mula cari mesin layan diri balikan KLEAN berhampiran anda. Jika di Genting Highlands, mesin tersebut boleh didapati di:

  • Taman Tema Tertutup Skytropolis
  • Awana SkyWay (Aras 4, SkyAvenue)