MINISO Bakal Buang Elemen Jepun Pada Kedai Fizikal Mereka Untuk Tampak Lebih Seperti Jenama China

August 19, 2022
Gaya Hidup

Lina Rosli

Baru-baru ini, MINISO telah menerima kritikan yang agak dahsyat daripada masyarakat China berkenaan konsep yang dipersembahkan jenama tersebut. Untuk pengetahuan anda, MINISO merupakan syarikat barangan runcit daripada China yang menawarkan pelbagai pilihan produk gaya hidup dari Jepun seperti barangan rumah, kosmetik, makanan dan juga kelengkapan dapur dengan harga yang berpatutan.

Rentetan daripada isu ini, ia telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat negara China dan telah meminta mereka untuk menukar dan menyusun semula strategi pemasaran untuk tahun-tahun akan datang.

Menurut MINISO, mereka kini sedang dalam proses de-japanising atau menyah-Jepunkan kedai mereka yang mana pengubahsuaian susun atur dalaman dan hiasannya telah giat dijalankan sejak 2019 lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2023.

Kini, MINISO telah menyelesaikan pengubahsuaian di 3,100 kedai fizikal di China yang mana mereka telah menukar logo Jepun kepada bahasa Cina sejak daripada Oktober 2021 hingga Mac tahun ini. Jenama itu juga berkata bahawa ia menyedari beberapa eksekutif telah melakukan kesilapan serius apabila membuat promosi jenama di luar negara.

MINISO akan mengambil langkah yang sesuai bagi menebus kesilapan ini dengan mula menampilkan elemen dan budaya yang lebih sinonim sebagai syarikat China bagi menggalakkan perbelanjaan pengguna di China.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd