Carian
FamilyMart Bakal Buka 50 Cawangan FamiCafe Menjelang Akhir 2023 – Kini Diiktiraf Halal Oleh JAKIM, Tidak Lagi Menawarkan Alkohol
May 10, 2023 Lina Rosli

Sudah hampir 8 tahun selepas pembukaan cawangan pertama FamilyMart di Malaysia, kini nampaknya kedai serbaneka popular Jepun ini telah menguatkan lagi kedudukannya dalam pasaran tempatan menerusi pengenalan FamiCafe.

Untuk pengetahuan anda, cawangan pertama FamilyMart di Malaysia dibuka di Wisma Lim Foo Yong yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 11 November 2016. Ia menjadi popular kerana ia merupakan kedai serbaneka pertama yang menjual aiskrim lembut dan makanan ringan segar.

Sebelum ini, FamilyMart telah memperluaskan penawaran mereka menerusi pembelian makanan mereka menerusi penyediaan kiosk pintar di stesen minyak di sekitar Malaysia. Melaluinya, ia bukan sahaja memudahkan lagi orang ramai untuk mendapatkan makanan dan minuman yang digemari ramai, tetapi juga menyediakan alternatif lain dalam menyajikan keperluan pelanggan dengan lebih meluas.

Berdasarkan perkongsian FamilyMart dalam sebuah acara pelancaran di salah sebuah cawangan FamiCafe di Menara U, jenama ini telahpun mendapat pengiktirafan halal daripada JAKIM. Tambah FamilyMart lagi, kini sekitar 170 hingga 250 produk yang dijamin halal merangkumi makanan panas, makanan sedia dimakan, minuman dan banyak lagi di kafe mereka.

Untuk pengetahuan anda juga, FamiCafe merupakan kafe kedai serbaneka pertama yang mendapat pengiktirafan halal daripada JAKIM.

Dengan adanya sijil pengiktirafan halal ini, FamilyMart turut mengumumkan yang mana mereka selepas ini tidak lagi akan menawarkan minuman beralkohol di kesemua rangkaian mereka.

Selain itu, berita baik buat penggemar produk FamilyMart yang berada di pantai timur Malaysia, jenama ini juga menjangkakan akan membuka sekitar 20 cawangan baharu dalam masa terdekat dan ia dikatakan akan bermula dengan lokasi yang terletak di Kuantan, Pahang pada bulan Jun 2023 kelak.

Komen