Carian
Sejarah Kebaya – Apa Yang Membuatkan Pakaian Ini Tidak Lapuk Dek Zaman?
September 12, 2023 Lina Rosli

Selain baju kurung, pakaian tradisional yang paling banyak digunakan di Malaysia adalah kebaya. Ia telah menjadi salah satu warisan fesyen yang menjadi pilihan masyarakat di sekitar selatan dan utara Malaysia sejak dari tahun 1900-an lagi. 

Sebenarnya, pemakaian kebaya ini dilihat dipengaruhi masyarakat Peranakan yang telah berkembang seiring dengan waktu. Namun, ia juga dilihat dibawa oleh para pedagang dari Arab, Jawa, Sulawesi dan banyak lagi.

Mengapa Penggunaan Kebaya Masih Lagi Popular Dalam Kalangan Wanita?

Tidak dinafikan antara faktor yang menjadikan kebaya masih lagi popular dalam era moden ini adalah disebabkan evolusi yang giat ditampilkan pada rekaan kebaya yang mana ia sesuai digayakan dalam apa jua acara dan majlis keramaian.

Bukan itu sahaja, pemilihan kebaya juga sedikit sebanyak dipengaruhi oleh rekaan dan corak yang ditampilkan pada kain sarung. Kebiasaannya, corak memainkan peranan penting dalam menunjukkan sama ada fesyen anda masih baru ataupun sudah lapuk. Namun untuk kebaya, ianya berbeza kerana corak yang ditampilkan pada kain sarung kebaya dilihat kekal relevan untuk sepanjang era.

Selain itu, inisiatif yang dibawakan oleh beberapa syarikat perniagaan yang menggunakan kebaya sebagai pakaian rasmi mereka turut memberi kesan kepada pemilihan kebaya dalam kalangan inidividu. Penggunaan kebaya sebagai pakaian rasmi boleh dilihat banyak digunakan dalam industri pelancongan, penghotelan dan penerbangan. Maka, tidak hairanlah mengapa pakaian tradisional ini masih tidak lapuk ditelan zaman,

Jika anda perasan, terdapat pelbagai jenis kebaya yang boleh anda dapati di Malaysia. Yang membezakan kebayat ini adalah dari segi jenis kain yang digunakan dan juga potongan yang ditampilkan. Ia boleh digayakan mengikut kesesuaian acara dan juga mengikut saiz dan rekaan yang anda minati. 

Asal Usul Kebaya – Jenis-Jenis Kebaya

Secara umumnya, kebaya berasal dari bahasa Arab yang disebut Kaba yang bererti pakaian dan kemudian diperluaskan Asia Tenggara. Dan orang yang pertama menggunakan kebaya pada abad ke-15 oleh seorang wanita Indonesia.

Namun, ada juga yang berpendapat yang mana kebaya ini mula menjadi pilihan individu apabila tiba abad ke-13 hingga ke-16 Masihi, iaitu pada zaman pentadbiran Ming di Tiongkok dan juga pengaruh ini ditularkan setelah imigrasi besar-besaran menyambangi semenanjung Asia Selatan dan Tenggara.

Kebaya pada dahulu hadir dalam bentuk blaus yang kebanyakan dipakai oleh wanita bangsawan. Trend ini mulai muncul selepas pengaruh Islam tiba di wilayah tersebut. Kemudiannya, kebaya ala Jawa dikembangkan dan digunakan oleh kerajaan Johor yang disebut Kebaya Riau.

Selain kebaya Riau, kebaya Labuh adalah antara busana yang paling awal tiba di Malaysia yang mana diperkenalkan dan diterapkan oleh wanita Portugis. Jadi untuk mengetahui lebih lanjut, Tajria hari ini ingin memperkenalkan perbezaan kebaya yang diperkenalkan di setiap negeri ini.

Kebaya Johor-Riau

Untuk potongan kebaya Johor-Riau, ia adalah kebaya dengan potongan baju belah panjang yang mana labuh sehingga buku lali. Untuk kebaya ini juga, ia berbelah dan berpesak di bahagian hadapan. Bagi menaikkan visual baju ini, ia dipadankan bersama kancing atau kerongsang tiga bagi menutup rekaan baju yang terbelah.

Kebaya Labuh atau Kebarung

Sementara untuk kebaya Labuh atau kebarung banyak dipakai di Jawa dan pulau-pulau jiran seperti Sumatera. Penggunaan kebaya jenis ini dipopularkan oleh wanita Portugis yang mana mereka menerapkan pemakaian kebaya Labuh ketika mereka tiba di Hindia Timur pada abad ke-16.

Beberapa sumber lain menunjukkan bahawa ia mungkin juga dipengaruhi oleh masyarakt Cina yang pada zaman Dinasti Ming, mereka mengenakan jubah depan terbuka. Tidak seperti kebaya di kebanyakan wilayah di Indonesia yang mungkin lebih ketat dan nipis, kebaya labuh ini juga menyerupai jubah panjang yang longgar dan biasanya diperbuat daripada kain separa telus seperti kapas. Varian serupa Kebaya Labuh adalah Kebaya Pahang-Riau.

Kebaya Peranakan atau Nyonya Kebaya

Kebaya ini sangat popular di kalangan masyarakat Peranakan Cina di Melaka, Pulau Pinang, Singapura dan Phuket.

Sebelum hadir dengan kebaya Nyonya, masyarakat Peranakan membawakan jubah sepanjang lutut yang diilhamkan dari baju kurung, namun dipadankan dengan kain batik. Selepas abad ke-20, wanita Peranakan mulai mendapat inspirasi dari kebaya bersulam renda yang dipopularkan oleh wanita Eropah dan Eurasia dan akhirnya Kebaya Peranakan dengan potongan sehingga pinggul menjadi popular pada tahun 1920-an.

Membezakan kebaya Nyonya dengan kebaya lain adalah motif yang ditampilkan pada baju seperti bunga, rama-rama, burung phoenix dan banyak lagi. Sebagai perbandingan, untuk kebayakan kebaya lain, ia lebih biasa diperbuat daripada kain jenis songket, kapas. dan juga renda biasa.

Kebaya Nyonya kini dianggap sebagai ciri khas identiti Peranakan dan masih dipakai untuk majlis khas sehingga ke hari ini.

Kebaya Saloma

Seterusnya, Biduanita Puan Sri Saloma adalah salah seorang wanita yang dikatakan menjadi pencetus trend fesyen dan gaya berpakaian wanita Melayu pada suatu ketika dahulu.

Beliau memperkenalkan kebaya ketat yang menampakkan bentuk badan, potongan melepasi bahu dan menampakkan dada. Busana ini dipadankan dengan. potongan kain kipas dan kembang, dan juga pada bahagian tangan berbentuk terbelah dan juga sedikit panjang.

Kebaya Kota Bharu

Untuk kebaya Kota Bharu pula, ia mempunyai kancing dibahagian hadapan yang mana ia dilihat mirip dengan Kebaya Kutu Baru dan Kebaya Jawa yang mana ia pendek di tengah dan panjang di bahagian belakang. Namun, yang membezakannya adalah mereka menggunakan kain yang sebasang untuk baju dan juga kain.

Kebaya Pulau Pinang

Sementara untuk kebaya Pulau Pinang pula, ia hadir dengan potongan labuh yang mana kebanyakannya diperbuat daripada kain sari. Ia tampak seperti kebaya Labuh namun dihiasi dengan labuci dan juga manik yang menyerlahkan lagi rekaannya.

Berikut adalah beberapa jenis kebaya yang boleh anda dapati di Malaysia. Secara keseluruhannya, rekaannya dilihat seakan sama namun dilengkapi dengan ciri-ciri yang tersendiri mengikut tradisi dan juga budaya sesuatu masyarakat.

Apakah pandangan anda dengan penggayaan kebaya pada masa kini? Adakah anda masih lagi menerapkan pemakaian kebaya dalam sesebuah acara atau majlis keramaian?

Sumber: AirasiaAlaf 21, ExpatGo

Komen