Ini 7 Faktor Yang Mungkin Menyebabkan Kulit Menjadi Merah Dan Merengsa
Lina Rosli
Tidak dinafikan, mengalami rasa gatal yang berterusan boleh menjadi satu perasaan yang rimas dan menjengkelkan. Dan apa yang lebih membimbangkan jika anda merasai gatal pada sesuatu bahagian, namun ia tidak muncul apa-apa tanda merah atau ruam padanya.
Kebiasaannya untuk penulis sendiri, masalah kegatalan kulit yang dialami mungkin disebabkan oleh ruang kerja yang berhabuk dan juga kawasan persekitaran yang berpasir – menjadikan kawasan tapak tangan dan kaki muncul bintik-bintik gatal yang berair.
Menurut pakar, harus diingatkan untuk anda tidak kerap menggaru kawasan gatal bagi mengelakkan jangkitan atau kerosakan kulit yang mana ini akan memburukkan lagi kegatalan.

Punca Dan Faktor Kulit Gatal
Selalunya, adalah sukar untuk menentukan apa yang menyebabkan gatal-gatal. Ia bukan semudah anda menukar dan memilih pakaian. Mengetahui punca dan faktor yang menyebabkan kegatalan adalah penting kerana ia berfungsi untuk mengurangkan risiko sesuatu gejala yang lebih serius, seperti ruam atau penyakit.
#1 Kulit kering dan gatal-gatal
Jika kulit anda kering, ia mungkin adalah punca yang menyebabkan anda berasa gatal-gatal. Ia boleh menjadi teruk terutamanya pada musim sejuk dan di tempat yang udaranya kering. Malah, menginjak ke umur yang lebih tua, masalah kulit kering dan gatal ini akan menjadi satu norma baharu.
#2 Ruam dan gatal-gatal
Jika anda mula menggaru dan mendapati ruam, kemungkinan masalahnya adalah pada kulit anda. Ia boleh berlaku disebabkan oleh jangkitan kulat dan bakteria seperti impetigo dan folikulitis.
Untuk pengetahuan anda, jangkitan impetigo ini biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Jangkitan ini adalah daripada bakteria yang hidup di lapisan atas kulit. Ia kelihatan sebagai kudis merah yang bertukar menjadi lepuh, melecet dan kemudian membentuk kesan nanah di seluruh atau sebahagian kawasan ruam.
Sementara folikulitis pula adalah keradangan folikel rambut atau kegatalan di tempat rambut tumbuh. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman atau kulat. Walaupun selalunya tidak berbahaya, folikulitis boleh menjadi lebih teruk dan menyebabkan keguguran rambut kekal.
Secara umumnya, folikel rambut terdapat hampir di seluruh badan. Oleh itu, folikulitis boleh berlaku di mana-mana bahagian badan. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, folikulitis muncul pada leher, paha, ketiak dan punggung.
#3 Gatal disebabkan serangga
Kebiasaannya, apabila anda digigit oleh nyamuk atau labah-labah, ia akan menyebabkan kegatalan dan kemerahan.
Untuk pengetahuan anda, gigitan pepijat dan hama boleh menjadi lebih sukar untuk didiagnosis kerana ia kelihatan seperti ruam. Menurut pakar, kira-kira 30% hingga 60% orang tidak pernah mengalami reaksi terhadap gigitan pepijat ada awalnya.
Namun, apabila gejala berkembang, gigitan mungkin boleh menyebabkan:
- merah dan bengkak, dengan bintik gelap di tengah setiap gigitan (ia juga mungkin kelihatan seperti sarang atau bisul)
- gigitan boleh menjadi melepuh
#4 Ekzema, atau dermatitis atopik
Individu yang mengalami ekzema, kegatalan yang dialami akan kelihatan pada kulit anda sebagai tompok kering, bersisik atau ruam beralun.
Secara umumnya, tidak jelas apa yang menyebabkannya, tetapi kesan ekzema boleh menjadi sangat gatal. Kanak-kanak lebih cenderung untuk mendapatnya jika keluarga mereka mempunyai sejarah asma dan alahan. Alahan makanan tertentu boleh memburukkan lagi.
Baca juga: Adakah Penyakit Ekzema Ketika Kanak-Kanak Boleh Berlarutan Sehingga Dewasa?
#5 Dermatitis kulit
Ruam gatal ini disebabkan oleh tindak balas kepada sesuatu yang menyentuh kulit anda. Anda mungkin perlu melakukan beberapa kerja pembersihan untuk mengetahui dari mana ia datang. Ia mungkin disebabkan oleh bahan yang digunakan dalam barang kemas atau barang perhiasan anda atau bahan kimia dalam kosmetik, peralatan mandian dan produk dobi.
Poison ivy juga merupakan satu bentuk dermatitis kontak. Anda perlu berhenti menggunakan atau memakai apa sahaja yang anda fikir mungkin menjadi punca dan lihat jika gatal-gatal menjadi lebih baik.

#6 Hives
Hives juga dikenali sebagai urtikaria, adalah sejenis ruam kulit dengan benjolan merah, timbul dan gatal.
Perasaan gatal ini mungkin terasa seperti terbakar atau menyengat. Tompok ruam mungkin muncul pada bahagian badan yang berbeza, dengan tempoh yang berubah-ubah dari minit ke hari, dan tidak meninggalkan sebarang perubahan kulit yang berpanjangan.
Kebiasaannya untuk hives, individu cenderung mengalaminya kesan daripada tekanan, haba, senaman, atau pendedahan kepada matahari juga boleh membawanya keluar.
#7 Psoriasis
Keadaan psoriasis berlaku menjadikan badan anda menghasilkan sel kulit yang berlebihan. Untuk pengetahuan anda, psoriasis merupakan keadaan di mana sel kulit terkumpul dalam tompok kering dan bersisik.
Menurut pakar, psoriasis boleh berlaku kira-kira dua kali lebih lazim pada orang yang mempunyai masalah obesiti berbanding mereka yang tidak mempunyainya.
Namun, harus diingatkan bahawa masalah obesiti sahaja tidak boleh menyebabkan psoriasis. Namun, obesiti yang juga dipengaruhi oleh beberapa faktor laon seperti genetik, pengambilan ubat-ubatan tertentu, dan merokok boleh memberi kesan kepada penurunan dalam kuantiti penghasilkan sel imun anti-radang.