Carian
Perbezaan Antara Garam Laut, Garam Kasar Dan Garam Meja
January 11, 2024 Lina Rosli

Jika ada satu perkara yang kita tidak boleh masak tanpanya, sudah semestinya ia adalah garam.

Untuk penulis sendiri, saya sangat bergantung kepada garam untuk menyedapkan makanan, melembutkan kepahitan, meningkatkan kemanisan dan menjadikan ramuan terasa seperti hidangan lima bintang.

Bagi yang tidak mengetahui, terdapat beberapa jenis garam yang sering digunakan oleh kebanyakkan tukang masa. Namun, antara yang popular adalah garam laut, garam kasar, garam kosher dan garam meja. Namun, apakah perbezaan untuk keempat-empat garam ini?

Berikut adalah empat jenis garam yang paling biasa digunakan untuk masakan di dapur:

Garam meja

Garam meja adalah jenis garam yang paling biasa, dan yang paling banyak digunakan di dapur rumah. Diperolehi daripada lombong garam, ia kemudiannya ditapis dan kebanyakan mineral dikeluarkan.

Garam meja juga mempunyai agen anti-caking yang ditambah untuk mengelakkan penggumpalan, seperti juga iodin, nutrien yang tidak selalu hadir secara semula jadi dalam garam.

Faedah garam meja ialah ketekalan dalam kemasinan, serta saiznya yang halus, yang menjadikannya mudah untuk diukur. Garam meja juga mudah larut dan sesuai untuk dibakar. Peraturan umum ialah sekiranya sesuatu resipi penaik memerlukan garam meja, anda tidak boleh menggantikannya dengan garam lain.

Garam meja mengawal pertumbuhan yis dan juga menguatkan gluten. Ia mempunyai fungsi penting jadi mesti diukur dengan tepat.

Baca juga: Adakah Garam Himalaya Berbeza Dengan Garam Putih?

Garam kosher

Garam kosher ialah garam serpihan berbutir kasar. Ia adalah kegemaran tukang masak Barat kerana ia mudah dicubit dan dikendalikan, dan ia tidak mempunyai bahan tambahan seperti iodin.

Selain itu, garam kosher juga biasanya kurang terasa masin jika dibandingkan dengan garam laut dan garam kosher ini juga mudah larut.

Bila hendak menggunakannya? Garam kosher ialah garam kemasan yang sangat baik untuk ditaburkan pada hidangan anda untuk perasa saat akhir. Garam kosher juga merupakan garam pilihan untuk pengasinan, pengawetan dan selalunya dijeruk, kerana ia tidak mengandungi iodin.

Untuk pengetahuan anda, iodin boleh bertindak balas negatif dengan makanan tertentu, jadi sebaiknya elakkan garam yang mempunyai iodin tinggi semasa mengawet.

Garam laut

Garam laut merujuk kepada garam yang tidak ditapis yang diperoleh daripada laut. Ia dikumpulkan melalui penyejatan air laut. Kekurangan penapisan dalam garam laut bermakna ia masih akan mengandungi kesan mineral lain – yang sesetengahnya mencadangkan meningkatkan rasa garam.

Walaupun sering dianggap sebagai alternatif yang lebih sihat kepada garam meja, mengikut berat, kedua-duanya mengandungi paras natrium klorida yang sama.

Kebiasaannya, untuk individu yang lebih menggemari rasa yang lebih semula jadi, anda pasti akan lebih suka rasa garam laut berbanding garam meja. Selain itu, anda juga boleh menggunakannya secara bergantian dengan jenis garam yang lain.

Garam kasar

Garam kasar hanya merujuk kepada kristal garam berbutir besar. Oleh itu, ia boleh menjadi garam laut atau garam yang dilombong. Ia cenderung untuk mengekalkan kurang lembapan di dalam garam supaya ia lebih tahan lama.

Untuk pengetahuan anda, garam kasar sesuai digunakan sebagai garam penamat untuk hidangan makanan. Sebagai contoh, untuk hidangan stik daging atau ikan salmon panggang, anda boleh menaburkan garam kasar ini sebagai pelengkap rasa.

Selain 4 garam dia atas, terdapat juga beberapa jenis garam lain iaitu garam Himalaya. Garam merah jambu ini biasanya boleh didapati di Khewra Salt Mine yang terletak berdekatan dengan gunung Himalaya di Pakistan. 

Menurut kajian, garam Himalaya merah jambu mengandungi sehingga 84 mineral yang berbeza. Namun, secara keseluruhannya, ia sebenarnya mengandungi sehingga 98 peratus natrium klorida dan cuma mempunyai sekitar 2 peratus mineral semulajadi yang lain. 

Dan disebabkan saiz kristal garam merah jambu lebih besar daripada garam biasa, ia secara teknikal mengandungi lebih sedikit natrium per sudu teh. Garam Himalaya juga mempunyai rasa lebih masin berbanding yang biasa.

Komen