Carian
Ulasan Samsung Galaxy A55 5G – Suka Ataupun Duka?
April 15, 2024 Lina Rosli

Pada Mac lepas, Tajria pernah berkongsi pengalaman pertama menggunakan Samsung Galaxy A55. Jadi, untuk kali ini pula kami berminat untuk menceritakan secara menyeluruh tentang apakah perasaan penggunaan peranti ini berbanding telefon pintar yang Tajria gunakan sebelum ini.

Peranti Kelas Pertengahan Yang Berbaloi

Selain penawaran cip yang berkuasa, Samsung Galaxy A55 5G ini didatangkan dengan pelbagai ciri menarik yang boleh dikatakan cukup berbaloi untuk peranti kelas pertengahan.

Untuk model terkini siri A ini, pengguna boleh menikmati pelbagai ciri dan fungsi menarik termasuk kejituan rakaman gambar, ketahanan bateri yang tahan lebih lama serta sokongan sekuriti yang telah diperhalusi menggunakan teknologi Samsung Knox Vault – kini tersedia pada Samsung Galaxy A55 5G yang mana ia sekaligus memberikan jaminan keselamatan kepada para pengguna.

Sepanjang hampir sebulan menggunakan Samsung Galaxy A55 5G ini, dari segi rekaan peranti, penulis boleh katakan model kali ini terasa lebih premium sewaktu dipegang di tangan – binaannya lebih kukuh cumanya, rekaan bersegi pada sisi peranti membuat penulis berada tidak selesa selepas menggunakan peranti terlalu lama.

Secara umumnya, rekaan ini boleh dikatakan hampir mirip dengan model Samsung Galaxy A54 yang sebelum ini. Yang membezakannya di bahagian tepi, terdapat lekuk yang menempatkan butang kuasa dan juga butang suara – untuk meninggikan dan merendahkan audio.

Untuk pengetahuan anda, saiz skrin peranti ini juga sedikit lebih besar iaitu 6.6 inci jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy A54, ia hadir dengan saiz skrin melangkaui 6.4 inci.

Dari segi rekaan, masih mengekalkan susunan kamera belakang secara berderet ke bawah, Samsung Galaxy A55 ini menampilkan sistem tri-kamera dengan lensa sudut lebar 50MP, lensa ultra sudut lebar 12MP dan lensa makro 5MP. 

Melengkapkan kamera adalah teknologi VDIS yang mampu mengambil gambar yang jelas dan mantap pada setiap masa di sebarang situasi. Sementara rakaman swafoto, ia menyertakan kamera 32-megapixel.

Pengalaman Merakam Gambar Di Kafe – Gambar Di Dalam Bangunan Dan Makanan

Secara jujur, untuk rakaman gambar di dalam kafe boleh dikatakan tidak ada sebarang masalah yang berlaku. Setiap hasil gambar yang dirakam boleh dikatakan hampir sempurna.

Seperti yang anda lihat pada sampel gambar di bawah, ia menampilkan gambar makanan yang sangat menyerlah untuk setiap warna dan ciri yang dipaparkan. Perincian pada makanan jelas kelihatan ditambah lagi dengan mod kecerdasan buatan yang dapat mengecam gambar di dalam kategori makanan.

Walaupun gambar dirakam sewaktu berada di dalam persekitaran yang kurang terdedah kepada pencahayaan, namun, keseluruhan kualiti gambar boleh dikatakan sangat memuaskan.

Pengambilan gambar potret juga kini boleh diubahsuai paras bagi kesan ‘bokeh’ untuk gambar. Selain gambar menggunakan kamera utama, kamera swafoto juga membolehkan anda menggunakan mod potret.

Berdasarkan gambar yang dirakam, kualiti yang dipamerkan kelihatan begitu kemas. Jadinya, ia sangat sesuai untuk anda yang mungkin menggemari rakaman OOTD di dalam kafe, makanya kamera daripada Samsung Galaxy A55 5G ini adalah pilihan yang tidak menghampakan.

Cuma kalau dilihat secara kasar, warna kulit mungkin akan kelihatan sedikit pucat jika ia tidak terdedah pada pencahayaan yang cukup.

Untuk penggunaan lensa makro pula, ia sedikit menghampakan. Seperti yang anda lihat, butiran gambar tidak dapat dilihat dengan begitu baik. Ia kelihatan kabur dan tidak menunjukkan apa-apa kelebihan pada rakaman yang diambil.

Di bawah adalah contoh gambar menggunakan mod makro pada peranti Samsung Galaxy A55 5G ketika berada di dalam keadaan yang kurang cahaya (indoor).

Untuk pengalaman rakaman gambar secara keseluruhan, hasil rakaman gambar dan video adalah sangat memuaskan.

Namun, untuk beberapa keadaan, seperti gambar makanan, warna yang terhasil pada gambar boleh dikatakan terlalu tinggi nilai saturation yang mana ia mungkin didorong oleh faktor sensor kamera yang kecil menjadikan Samsung Galaxy A55 5G ini sukar mencari konsistensi dalam rakaman gambar.

Walau bagaimanapun untuk rakaman mod malam pula, hasil gambar yang dihasilkan adalah konsisten. Bergantung kepada kehadiran pencahayaan dan juga objek sekeliling, gambar kadangkala akan kelihatan terang dan jelas. Tetapi sekiranya berada di kawasan kurang pencahayaan, ada kalanya gambar akan kelihatan kusam dan sedikit gelap.

Sokongan Sekuriti Dan Ciri Keselamatan Samsung Knox Vault

Seperti yang dikongsikan pada artikel Pertama Kali Samsung Galaxy A55 5G Tajria, pada tahun ini fokus utama Samsung adalah Samsung Knox Vault salah satu ciri keselamatan yang inovatif yang tersedia pada Galaxy A55 5G dan Galaxy A35 5G baharu.

Jika ditanya sama ada penulis menggemari atau tidak, ciri Samsung Knox Vault ini – jawapannya pastilah suka. Untuk pengetahuan anda, Samsung Knox Vault menawarkan perlindungan menyeluruh terhadap kedua-dua serangan perkakasan dan perisian dengan membina persekitaran pelaksanaan selamat yang diasingkan secara fizikal daripada pemproses dan memori utama sistem.

Dengan ini, data-data kritikal seperti kata laluan untuk akses ke akaun privasi anda akan dilindungi dan diuruskan oleh sistem operasi tersendiri bukan Android.

Hanya pengguna yang mempunyai kelayakan sahaja yang boleh mengakses data mereka, walaupun peranti itu hilang atau dicuri.

Untuk ciri-ciri lain yang ditampilkan seperti Private Sharing dan Security and Privacy Dashboard, khusus untuk anda yang sering melakukan perkongsian fail secara atas-talian, teknologi yang diperkenalkan Samsung ini berfungsi baik dalam mengawal serangan siber ke atas akaun anda kerana anda boleh memilih untuk mengehadkan tangkapan skrin atau muat turun.

Untuk menetapkannya, anda boleh ke bahagian Settings > Security And Privacy di peranti Samsung Galaxy A55 5G anda.

Bunyi Muzik Dan Audio Yang Jelas

Siapa yang tidak gemar membuka muzik sewaktu ingin memasak? Ia seakan memberikan semangat untuk anda menyediakan makanan anda dengan lebih cekap dan pantas.

Disebabkan ia hadir dengan sistem audio stereo, kelantangan audio yang dihasilkan adalah cukup baik untuk ruang yang tidak begitu besar. Apabila saya meletakkan Samsung Galaxy A55 5G di ruang tamu, saya masih lagi boleh dengar dengan baik muzik yang dimainkan menerusi Youtube Music. 

Apa yang buat hanyalah meletakkan audio pada paras 75% dan audio yang dimainkan tidak pecah, namun masih lagi memberikan kelantangan yang memadai untuk didengari di dapur. 

Ketahanan Bateri – Anda Tidak Perlukan Power Bank

Kapasiti bateri yang ditawarkan secara amnya tidaklah begitu besar iaitu sekitar 5,000mAh sahaja – juga sama seperti model Samsung Galaxy A54 5G sebelum ini.

Namun, untuk kegunaan harian, kapasiti bateri ini sudah memadai. Dari segi pengalaman penggunaan, penulis hanya sekadar membuka aplikasi media sosial, merakam dan menyunting gambar, menatal produk menarik di aplikasi dan juga bermain permainan mudah-alih seperti Candy Crush, ia sudah mencukupi tanpa memerlukan anda untuk membawa powerbank.

Untuk penawaran kelajuan pengecasan, Samsung Galaxy A55 5G terhad kepada pengecasan pantars 25W, yang mana ia mengambil masa sekitar 60 mini untuk mengecas semula.

Jadi, adakah Samsung Galaxy A55 5G ini merupakan peranti kelas pertengahan yang berbaloi untuk dibeli? Jawapannya adalah ya. Ini jika anda lihat dari sudut penawaran ciri keselamatan yang ditambahbaik pada peranti ini – Samsung Knox Vault.

Malah, anda juga boleh mengakses pelbagai fungsi menarik dari sudut rakaman gambar, multi tugasan dan sebagainya, tetapi juga beberapa penawaran lain dari sudut sokongan kemaskini sistem operasi seperti sokongan kemaskini sistem keselamatan selama 5 tahun, kemaskini sistem operasi selama 4 tahun dan waranti peranti selama 2 tahun.

Namun, penawaran harga untuk peranti ini masih lagi tinggi jika dibandingkan dengan peranti yang seangkatan dengannya – dari jenama pesaing. Untuk pengetahuan anda, harga jualan Samsung Galaxy A55 5G adalah RM1,999.

Jadi, apa pula pendapat anda tentang penawaran peranti terbaru daripada Samsung ini? Adakah ciri yang ditawarkan menepati pilihan anda?

Komen