Carian
Apakah Perbezaan Antara Biji Kopi Arabica, Robusta Dan Liberica?
June 20, 2024 Lina Rosli

Secara umumnya, kopi merupakan antara minuman yang dinikmati oleh kebanyakan individu di seluruh dunia. Dan kadangkala, kopi mungkin menjadi medium yang menghubungkan sesuatu dengan sesuatu yang lain.

Tahukah anda, terdapat 3 jenis biji kopi yang popular dan digunakan oleh kebanyakan kedai kopi di Malaysia? Ia adalah Arabica, Robusta dan Liberica yang mana ketiga-tiga jenis biji kopi ini menawarkan rasa dan aroma yang unik.

Bagi pencinta kopi, memahami jenis-jenis biji kopi seperti Arabica, Robusta, dan Liberica boleh memberikan pengalaman yang lebih mendalam dalam menikmati setiap cawan kopi. Dalam artikel ini, kami akan berkongsi perbezaan utama antara ketiga-tiga jenis biji kopi ini.

Baca juga: Apakah Biji Kopi Yang Dikeluarkan Oleh Malaysia?

Biji Kopi Arabica – Rasa Yang Lebih Lembut Dan Pelbagai

Kopi Arabica merupakah salah satu jenis kopi yang popular dalam industri yang mana ia menyumbang kira-kira 60% hingga 70% pengeluaran kopi global. Biji kopi ini biasanya ditanam di kawasan tinggi dan iklim sejuk seperti di Brazil, Colombia, dan Ethiopia.

Ciri-ciri utama biji kopi Arabica

  • Rasa dan Aroma: Arabica dikenali dengan rasa yang lembut dan kompleks. Ia menawarkan pelbagai profil rasa termasuk nota buah-buahan, bunga, dan kadangkala rasa kacang dan coklat.
  • Kandungan Kafein: Arabica mengandungi kandungan kafein yang lebih rendah, sekitar 1.2% hingga 1.5%, menjadikannya pilihan yang baik bagi mereka yang sensitif terhadap kandungan kafein yang tinggi.
  • Bentuk Biji: Jika dibandingkan dengan biji kopi yang lain, biji kopi Arabica menampilkan biji berbentuk bujur dengan garisan tengah yang melengkung.

Biji Kopi Robusta – Profil Rasa Yang Lebih Berani Dengan Kandungan Kafein Tinggi

Selain Arabica, kopi Robusta juga antara penyumbang besar kepada pengeluaran kopi dunia – sekitar 30% hingga 40%. Untuk anda yang menggemari kopi yang lebih pahit dan kuat, biji kopi Robusta adalah pilihan yang sesuai untuk secangkir kopi anda.

Secara umumnya, Robusta ditanam di kawasan rendah dan boleh tumbuh pada suhu yang lebih tinggi berbanding Arabica. Ini menjadikannya lebih mudah ditanam di beberapa kawasan tropika seperti di di Vietnam, Indonesia, dan beberapa negara Afrika.

Ciri-ciri utama biji kopi Robusta

  • Rasa dan Aroma: Rasa kopi Robusta adalah lebih pahit dan kuat, dengan nota tanah dan kayu yang ketara. Sesuai untuk pencinta kopi yang mahukan rasa yang lebih ‘berani’.
  • Kandungan Kafein: Robusta mempunyai kandungan kafein yang lebih tinggi yang mana ia memberikan kesan rasa yang lebih pahit. Malah, kandungan kafein yang tinggi juga membuatkan tanaman ini lebih tahan terhadap serangan penyakit dan serangga.
  • Bentuk Biji: Biji kopi Robusta berbentuk bulat dengan garisan tengah yang lurus.

Biji Kopi Liberica – Untuk Anda Yang Menggemari Rasa Yang Eksotik

Di antara ketiga-tiga biji kopi ini, Liberica mungkin agak kurang dikenali berbanding Arabica dan Robusta. Namun, apa yang menarik sebenarnya adalah biji kopi ini merupakan biji kopi yang ditanam di Malaysia. Antara negeri di Malaysia yang menjadi pengeluar utama biji kopi adalah Sabah, Johor dan Selangor. 

Bercerita mengenai pengeluaran kopi di Malaysia juga, tahukah anda, kopi Liberica menyumbang kira-kira 95% kopi yang ditanam di Malaysia? Ladang kopi Liberica di Malaysia terletak di Kulaijaya yang merupakan dibawah operasi My Liberica. Ia merupakan ladang kopi Liberica yang sangat jarang ditemui di dunia yang menghasilkan kopi Liberica kelas khas yang berkualiti tinggi.

Ciri-ciri utama Liberica:

  • Rasa dan Aroma: Liberica menawarkan rasa yang unik dan kompleks dengan nota buah-buahan eksotik, bunga, dan sedikit kayu. Rasa ini sering digambarkan sebagai rasa yang berani dan luar biasa.
  • Kandungan Kafein: Kandungan kafein dalam Liberica adalah lebih rendah daripada Robusta tetapi lebih tinggi sedikit daripada Arabica.
  • Bentuk Biji: Biji kopi Liberica adalah lebih besar dan tidak seragam, dengan bentuk yang tidak rata dan garisan tengah yang tidak lurus.

Memilih biji kopi bergantung kepada citarasa peribadi dan bagaimana kopi tersebut akan disediakan. Arabica sesuai untuk mereka yang mencari kopi dengan rasa yang halus dan pelbagai, Robusta pula untuk pencinta kopi yang menyukai rasa yang kuat dan pahit, manakala Liberica untuk mereka yang ingin mencuba sesuatu yang berbeza dan eksotik.

Komen