Sejak 3 tahun kebelakangan ini, kebanyakan jenama minuman popular di Malaysia telahpun mengambil langkah proaktif dalam menukar penggunaan penyedut minuman plastik kepada penyedut minuman beras dan kertas.
Usaha ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen mereka ke atas kesejahteraan alam sekitar, tetapi juga sebagai langkah dalam memberi inspirasi kepada pengguna untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih hijau. Dengan sokongan daripada lebih banyak jenama tempatan, Malaysia boleh mencapai kemajuan besar dalam usaha menjaga alam sekitar dan mengurangkan jejak karbon.
Baru-baru ini, Majlis Perbandaran Kangar dilihat mula mengeluarkan larangan ke atas semua premis kedai makanan dan minuman termasuk gerai serta penjaja di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk menawarkan minuman bersama penyedut minuman plastik kepada pelanggan – berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Sebagai alternatif, peniaga ataupun pemilik premis itu boleh menggunakan penyedut minuman yang diperbuat daripada bahan jenis biodegradasi.
Senarai Kedai Kopi Dan Teh Yang Sudah Menggunakan Straw Beras Atau Straw Kertas
Berikut adalah beberapa jenama minuman yang telah sedia menukar penggunaan straw plastik kepada straw kertas atau straw beras:
#1 Tealive
Menjadi antara yang terawal dalam menggunakan straw kertas, Tealive mula hadir dengan inisiatif hijau ini sejak tahun 2019. Apa yang menarik, setelah melalui beberapa kali pertukaran pelbagai jenis straw, kini straw Tealive merupakan antara straw yang mempunyai ketahanan ke atas air yang agak lama – sek

#2 Bask Bear Coffee
Sebagai salah satu jenama minuman di bawah payung Loob Holdings, Bask Bear Coffee juga tidak ketinggalan dalam menggunakan straw kertas bagi mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar dan menggalakkan penggunaan produk yang boleh terurai.
#3 ZUS Coffee
ZUS Coffee mula menggunakan straw beras yang boleh dimakan dan biodegradable pada pertengahan tahun 2021. Selain itu, mereka juga menawarkan straw keluli tahan karat yang boleh digunakan semula, menunjukkan komitmen mereka terhadap kelestarian.
Bukan itu sahaja, ZUS Coffee turut menggalakkan amalan minuman tanpa straw menerusi pengenalan penutup minuman (lid) yang mesra minum.


#4 The Coffee Bean & Tea Leaf
The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia juga sangat sinonim dengan penggunaan straw beras yang boleh dimakan. Namun disebabkan oleh limitasi terhadap ketahanan straw ke atas air apabila digunakan pada tempoh yang lama, maka jenama ini mula menukar kepada jenis straw baharu yang lebih tahan lama.

#5 Chatime
Tidak ketinggalan, Chatime juga telah menggantikan straw plastik dengan straw kertas untuk semua minuman mereka, sejajar dengan komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar.
#6 Gloria Jean’s Coffee
Seterusnya, Gloria Jean’s Coffee juga memperkenalkan straw kertas sebagai salah satu usaha mereka untuk mengurangkan penggunaan plastik dan mempromosikan kelestarian.
#7 Costa Coffee
Jika anda berkunjung ke beberapa cawangan Costa Coffee di sekitar Malaysia, jenama ini dilihat telah beralih menggunakan straw kertas sebagai langkah mengurangi penggunaan plastik sekali pakai.

Langkah menggunakan straw bukan plastik oleh jenama-jenama ini mencerminkan komitmen mereka terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran plastik tetapi juga mendidik pelanggan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Sebagai pengguna, kita juga boleh memainkan peranan dengan menyokong jenama-jenama ini dan membawa straw serta bekas minuman sendiri. Dengan cara ini, kita semua dapat menyumbang kepada usaha global untuk memelihara bumi bagi generasi akan datang.