Carian
MODENAS Memperkenalkan Varian Baharu Untuk MODENAS KRISS 110 – Motosikal Mesra Alam Yang Mematuhi Piawaian Euro 4
August 28, 2024 Lina Rosli

MODENAS kini semakin bersedia untuk menerajui industri dengan pengeluaran motosikal mesra alam, sebagai sebahagian daripada komitmen mereka terhadap kelestarian dan inovasi.

Di sebuah acara yang diadakan pada 27 Ogos 2024 lepas, MODENAS nampaknya telah memperkenalkan varian baharu MODENAS KRISS 110 yang mematuhi piawaian pelepasan Euro 4.

Bagi yang tidak mengetahui, piawaian Euro 4 merupakan piawaian pelepasan yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah – diperkenalkan pada tahun 2005. Piawaian Euro 4 ini memerlukan kenderaan untuk mematuhi had pelepasan bahan pencemar seperti karbon monoksida (CO), hidrokarbon (HC), nitrogen oksida (NOx), dan zarah pepejal – sekaligus dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan meningkatkan kualiti udara.

Untuk hadir dengan penawaran ini, MODENAS telah melaksanakan kerjasama strategik bersama dengan pengeluar global seperti Kawasaki, Kymco, dan Bajaj – bagi menyediakan platform yang kukuh untuk MODENAS melebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa yang lain termasuk Greece, Amerika Selatan, Rusia, Thailand, dan yang terbaru ke China pada tahun 2024 dengan pengeksportan Kawasaki ZX-6R yang dipasang dalam negara.

Selaras dengan komitmen baharu MODENAS untuk menghasilkan lebih banyak motosikal berteknologi mesra alam, MODENAS juga secara aktif sedang membentuk masa depan yang lebih lestari. Strategi ini telah pun menunjukkan hasil, seperti yang dilihat dalam pembekalan motosikal elektrik MEV-1 kepada Pos Malaysia sejak 2023, menyokong misi net zero kurier negara tersebut.

Langkah ini menandakan permulaan kepada era baharu bagi MODENAS, di mana fokus kepada teknologi mesra alam menjadi keutamaan dalam setiap model yang dikeluarkan.

Komen