Muji Bakal Perkenal Kaunter Kopi Kedua Mereka Di Mid Valley Megamall – Akan Menjadi Cawangan Muji Terbesar Di Malaysia
Lina Rosli
Berita gembira untuk peminat Muji kerana nampaknya jenama terkenal dari Jepun ini akan membuka kaunter kopi kedua mereka di Malaysia, kali ini di Mid Valley Megamall.
Untuk pengetahuan anda, setelah hampir 12 tahun beroperasi di Mid Valley Megamall, Muji sebenarnya akan membuka lembaran baru dengan cawangan yang lebih besar dan lebih moden di lokasi G-068 dan G-069.

Di lokasi baru ini, Muji menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada para pelanggannya menerusi pengenalan kaunter kopi mereka – yang sebelum ini dibuka di 1Utama sahaja.
Bagi yang mungkin tidak tahu tentang kaunter kopi Muji, di kaunter ini, Muji menyediakan minuman kopi yang dipilih dengan teliti, menggunakan biji kopi yang berkualiti untuk menjamin rasa yang autentik dan memuaskan. Ia seperti sebuah kafe di dalam butik yang mana pelanggan boleh berehat seketika di ruang yang menenangkan sambil menikmati kopi yang disajikan.


Selain kaunter kopi, Muji juga akan menambah beberapa ciri menarik di kedai baru mereka, termasuk:
- Kaunter Gelato untuk pencuci mulut yang menyegarkan
- Kaunter Pengubahsuaian bagi keperluan penyesuaian pakaian
Cawangan terbaru ini dijadualkan dibuka pada 11 Oktober 2024, jadi tandakan kalendar anda dan sertai mereka dalam mencipta kenangan baru di lokasi yang lebih luas ini.

Dengan cawangan terbesar ini, pelanggan boleh menjangkakan rangkaian produk yang lebih luas, dari barang perabot dan aksesori rumah hinggalah ke barangan keperluan harian yang sesuai dengan gaya hidup minimalis.