Sekitar 2024 – Ini Jenama Makanan Dan Minuman Yang Melakukan Penjenamaan Semula Dan Pembaharuan Penawaran Pada Tahun 2024
Lina Rosli
Di sepanjang tahun 2024, anda boleh menyaksikan beberapa perubahan strategi dan juga penjenamaan semula telah dilaksanakan oleh beberapa jenama makanan dan minuman – ini bagi memastikan produk yang ditawarkan masih lagi relevan dan menepati keperluan semula.
Untuk pengetahuan anda, terdapat pelbagai kepentingan penjenamaan semula – dan ini termasuklah untuk menarik perhatian kumpulan pelanggan baharu. Ini kerana penjenamaan semula boleh memberi imej segar yang lebih menarik kepada demografi baharu.
Berikut adalah beberapa jenama yang makanan dan minuman yang telah melakukan penjenamaan semula pada tahun 2024:
#1 Tealive
Untuk jenama yang terkenal dengan penawaran teh mutiara ini, Tealive bukanlah hadir dengan penawaran logo baharu, akan tetapi lebih memfokuskan kepada perangkaan strategi baharu untuk barisan produk mereka – yang mana ingin menawarkan lebih sekadar teh mutiara.
Tealive telah mengambil langkah penjenamaan semula untuk memperkukuhkan hubungan pelanggan dengan jenama, dengan fokus utama kepada budaya positif. Menurut pengasasnya, Bryan Loo, tagline baharu “Brewing Positivity” tidak hanya merujuk kepada proses menghasilkan minuman tetapi kepada tujuan jenama itu sebagai pemangkin kepada kebaikan.

Penjenamaan ini mencerminkan usaha Tealive untuk menjadi jenama yang penuh makna, yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat dan komuniti di seluruh dunia.
Sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula, Tealive mengutamakan nilai ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus). Tealive juga mula mempromosikan produk mesra alam dengan menyediakan barangan kertas yang lestari, termasuk cawan dan straw kertas, bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
#2 Salad Atelier
Sewaktu meraikan ulang tahun mereka yang ke-10, Salad Atelier turut mengumumkan beberapa pembaharuan untuk jenama mereka. Ini merangkumi penjenamaan semula identiti seperti logo dan tipografi selain turut memperluaskan barisan produk yang ditawarkan kepada pelanggan.
Jika anda lihat, rekaan kedai Salad Atelier telah mula dikemaskini yang mana kini mereka mula menggunakan logo dan papan tanda baharu. Ini selari dengan misi mereka bagi mengajak lebih ramai individu untuk berkunjung ke kedai mereka. Bukan itu sahaja, penjenamaan semula ini turut bertujuan untuk menandakan lembaran baharu yang ingin mereka tampilkan di kesemua rangkaian mereka.

Tambah Salad Atelier juga, mereka turut berkerjasama dengan Sunway XFarms dalam menawarkan bahan-bahan mentah yang segar dari kebun mereka – seperti daun selada yang digunakan di dalam menu mereka.
#3 Mat Chicken & Burger
Jika anda mengikuti perkembangan Pak Mat Western, pastinya anda mengetahui yang mana jenama ini pada asalnya bermula sebagai sebuah jenama yang menjual daging kambing perap sedia masak di dalam pek.
Setelah setahun beroperasi, Pak Mat Western mula memperluaskan penawaran mereka menerusi sub-jenama yang memfokuskan kopi – Mat Coffee dibuka pada tahun 2023.
Kemudian, pada tahun 2024, sekali lagi Pak Mat Western memperluaskan barisan produk mereka iaitu menerusi pengenalan Mat Chicken & Burger. Di bawah jenama ini, ia hadir dengan variasi pilihan menu yang boleh dipesan secara fizikal di kedai mereka. Antara menu yang diperkenalkan termasuklah Mat Chicken Grilled Burger, Set Ayam Goreng Original, McGlorious dan banyak lagi.

Bergerak ke hadapan, kita turut boleh menjangkakan lebih banyak penawaran yang akan diterokai oleh Pak Mat Western – yang mana bertepatan dengan minat dan kemahuan masyarakat setempat.
#4 MUJI Cafe
Sama seperti Tealive, penjenamaan semula MUJI lebih memfokuskan kepada penawaran produk yang lebih versatil – tidak lagi terhad kepada jualan pakaian dan juga kelengkapan rumah tetapi kini membawakan ruang untuk para pengunjung menikmati hidangan ringan seperti kopi dan juga gelato.
Pada awalnya, penawaran ini hanyalah terhad pada satu lokasi sahaja – iaitu di 1 Utama. Tetapi kini, MUJI dilihat telah mengemaskini dan memperbaharui kebanyakan cawangan mereka di pusta beli-belah utama di sekitar Lembah Klang.


Dengan adanya kaunter kopi dan gelato, pelanggan kini boleh menikmati lebih dari sekadar pengalaman membeli-belah. Ini menjadikan MUJI Mid Valley bukan sahaja sebagai destinasi untuk mencari barangan berkualiti tinggi tetapi juga tempat untuk berehat dan menikmati saat-saat istimewa.
Untuk pengetahuan anda, selain MUJI, UNIQLO turut hadir dengan penawaran kedai kopi mereka yang tersendiri.
#5 Helo Moo!
Bagi yang tidak mengetahui, jenama Helo Moo! merupakan salah satu inovasi menarik dari Gigi Coffee Mula diperkenalkan pada Ogos 2024, pengenalan jenama ini secara tidak langsung menambah lagi kepelbagaian dalam tawaran mereka dan terus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam industri makanan dan minuman.

Sebelum ini, dibawah jenama Gigi Coffee telahpun menampilkan beberapa jenis kedai dan juga restoran. Ini termasuk Gigi Coffee Super (20) yang hadir dengan konsep ekspres dalam menawarkan pengalaman kopi yang pantas dan praktikal.
Sub-jenama ini menumpukan kepada menu terpilih dengan 20 minuman kegemaran pelanggan, yang dipilih berdasarkan populariti dan cita rasa terbaik daripada menu utama Gigi Coffee. Untuk kedai konsep ini, ia dibuka di dalam kedai pakaian Outpozt yang terletak di IOI City Mall Putrajaya.

#6 ZUS Coffee
Untuk tahun 2024, apa yang menarik di ZUS Coffee, mereka menampilkan pelbagai penawaran baharu yang menjadikan jenama mereka lebih versatile. Jenama ini dilihat mula mengemaskini penawaran mereka dengan variasi pilihan minuman yang kini tidak terhad kepada kopi dan juga refreshers tetapi juga penawaran barisan minuman berasaskan teh yang lebih premium – seperti White Peach Cham Latte, Dark Oolong Milk Tea dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, selepas pengenalan biji kopi baharu iaitu BOSS dan LYDIA, ZUs Coffee kini tampil selangkah lagi ke hadapan menerusi pengenalan Siri Single Origin Espresso (SOE) yang menggunakan biji kopi dari tanah tinggi Cauca, iaitu Columbian Popayan Reserve.
Siri Single Origin Espresso ini merupakan siri minuman premium ZUS Coffee yang mana ia menggunakan biji kopi premium yang dihasilkan dari satu rantau sahaja. Bagi yang tidak mengetahui, biji kopi Single Origin ini merujuk kepada biji kopi yang diperoleh dan diproses dari satu ladang kopi dan menampilkan satu profil panggangan sahaja.

Seterusnya, ZUS Coffee juga hadir dengan minuman di dalam tin yang ditawarkan di kedai-kedai serbaneka popular di seluruh Malaysia – dikenali sebagai ZUSPRESSO. Dengan ini, ia bukan sahaja menjadikan jenama mereka lebih mudah diakses, tetapi juga memberi peluang kepada pengguna untuk menikmatinya pada bila-bila masa dan dimana sahaja.
Selain itu, untuk tahun 2024 juga, ZUS Coffee turut membawa semula kempen Buatan Malaysia ke sekitar Timur Malaysia iaitu di Sabah dan juga Sarawak – yang mana melaluinya, jenama ini membantu mengangkat jenama-jenama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
#7 The Coffee Bean & Tea Leaf
Pada suku keempat 2024, The Coffee Bean & Tea Leaf mula mengemaskini penjenamaan mereka dengan memperkenalkan aplikasi pesanan mereka yang tersendiri yang dikenali sebagau myCBTL – menghentikan penggunaan kad fizikal untuk mengumpul mata ganjaran.

Menerusi pengenalan aplikasi The Coffee Bean & Tea Leaf, ia dijangka memberikan pengalaman baru yang lebih mudah dan pantas untuk para pelanggan setia mereka.
#8 FamilyMart
Selepas usaha FamilyMart dalam memastikan penawaran produk yang halal di Malaysia pada tahun 2023, yang mana mereka tidak lagi menjual minuman beralkohol di kedai mereka, jenama ini dilihat terus komited dalam memastikan pengalaman pembelian yang mesra.
Pada tahun 2024, jenama ini telah melakukan penjenamaan semula untuk penawaran minuman berasaskan kopi yang mana kini ditawarkan dibawah jenama FamiCafe. Di FamiCafe, anda boleh menikmati kopi dan makanan ringan dalam suasana kafe yang selesa, tetapi masih mengekalkan ciri-ciri kedai serbaneka.

Selain itu, terdapat FamilyMart yang terpilih sudah mula hadir dengan kaunter ‘Tap & Go Coffee’ – anda boleh mendapatkan kopi tanpa perlu beratur di kaunter bayaran Oden. Harga kopi yang ditawarkan adalah serendah RM2.90 secawan.
#9 Bilabila Mart
Baru-baru ini, kedai serbaneka bilabila mart telahpun hadir dengan penjenamaan semula untuk logo dan konsep kedai – yang mana ia tampil dengan vibes yang lebih muda dan lebih berani.
Bersempena dengan pengenalan identiti dan logo baharu, Bilabila mart telah membuka kedai mercu pertama dan terbesar mereka di Millerz Square, Jalan Klang Lama. Menggunakan konsep kedai sehenti, di bangunan 2 tingkat ini, BilaBila Mart memperkenalkan dua penawaran baharu iaitu – Bilabila Cafe dan Bila Box.
Bilabila Cafe menawarkan pengalaman unik dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman dalam suasana yang selesa. Kafe ini menyediakan pelbagai hidangan menarik, termasuk kopi, teh, smoothies serta makanan ringan seperti sandwich dan pastri.


Untuk pengetahuan anda, di Bilabila Mart juga, anda boleh mendpaatkan terus barangan segar dari ladang yang menjadikan ia sebuah lokasi membeli-belah yang perlu anda kunjungi. Dan ini menjadikannya unik yang mana ia membolehkan pelanggan menikmati hidangan berkualiti tanpa perlu pergi jauh dari lokasi membeli-belah harian mereka.
Dengan ini, kita dapat lihat beberapa penjenamaan semula dan juga penawaran baharu yang telah dilaksanakan oleh beberapa jenama makanan dan minuman di Malaysia sepanjang tahun 2024. Selari dengan keperluan setempat, jenama ini dilihat komited dalam memberikan pengalaman pembelian dan juga penawaran produk yang lebih meluas kepada masyarakat di Malaysia.