Musim Panas Di Hokkaido: Hari Kedua Menuju Hakodate

March 9, 2025
destinasi

tekong

(Artikel ini merupakan salah satu artikel dalam siri ‘Musim Panas di Hokkaido’. Klik untuk artikel pertama disini)

Perjalanan hari kedua menggunakan jalan persekutuan dan tidak menggunakan jalan lebuhraya bagi menjimatkan kos. Dari Toyakoonsen ke Hakodate tidaklah terlalu jauh, iaitu sekitar 162 KM atau sekitar 2 jam 20 minit perjalanan. Menggunakan jalan persekutuan akan menambah masa perjalanan sekitar 30 minit namun dapat melihat sekitar Uchiura Bay. Namun seperkara mengenai memandu di Jepun, had laju mereka ialah 60 km/j di semua jalanraya, dan hanya 100 km/j di lebuhraya jadi jika anda ingin mengejar masa, ada baiknya anda menggunakan lebuhraya. 

Menggunakan jalan persekutuan, anda akan menelusuri pekan-pekan disekitar dan terdapat juga ruang rehat yang tidak kurang lengkapnya. Dengan banyaknya kedai serbaneka Family Mart, Lawson dan Seico, anda tidak akan bosan dan sentiasa boleh singgah untuk berehat. Malah anda juga akan sempat berselisih dengan konvoi motosikal yang sangat berdisiplin, kerana mereka mematuhi had laju kebangsaan dan juga tidak menyelit diantara kenderaan. 

Di Goryokaku & Yunokawacho

Destinasi yang dituju adalah Goryokaku di Hakodate, dimana ia menempatkan taman percuma berbentuk bintang dan didalam tersebut terdapat satu muzium yang tidak percuma iaitu Pejabat Majistret. Memandangkan cuaca tengahari, saya tidak naik ke menara Goryokaku kerana ingin menangguhkannya untuk lawatan akan datang, mungkin lebih sesuai sewaktu musim Sakura. 

Di Jepun, anda akan melihat cop setem di banyak lokasi menarik dan sewaktu saya hadir, terdapat promosi filem Conan – The Million Dollar Pentagram yang memerlukan anda melengkapkan sebanyak 10 cop setem di sekitar bandar Hakodate. Antara lokasi yang memerlukan cop ini termasuklah Goryokaku, Hanabishi Hotel, Mt Hakodate, Stesen Keretapi Hakodate dan juga Kanemori Red Brick Warehouse. Memandangkan beberapa cop telahpun diperoleh di Goryokaku, saya bergegas ke Hanabishi Hotel dan sekali lagi, dapat mencelup kaki di kolam air panas di Yunokawacho. 

Menuju Mount Hakodate

Selesai aktiviti ini, saya bergegas ke Cape Tachimachi. Tanjung ini merupakan anjung tinjau membolehkan anda melihat kepulauan Honshu, iaitu pulau Jepun paling besar yang menempatkan bandar Tokyo, Osaka dan bermacam lagi. Anda juga dapat melihat kapal terbang mendarat di lapangan terbang Hakodate yang berhampiran dengan bandar ini.

Meneruskan perjalanan sebelum sampai ke hotel, adalah dengan pergi menaiki kereta kabel menuju Bukit Hakodate. Tidak perlu beratur panjang untuknya namun seperkara yang mungkin sedikit rugi bagi saya adalah sebenarnya boleh hadir ke bukit ini secara percuma sekiranya memandu sendiri sekitar pertengahan bulan April ke pertengahan bulan November namun saya tidak mengetahui perkara ini. Saya telah membayar parkir dan juga bayaran tiket kereta kabel sekitar 1,800 yen /~ RM 60. 

Bukit Hakodate merupakan salah satu tarikan yang turut diberikan tiga bintang oleh Michelin Guide. Saya hadir sewaktu petang dan pemandangannya memang menakjubkan dan anda dapat lihat bandar Hakodate secara keseluruhan. Bagi anda yang ingin melihat pemandangan malam, ada baiknya anda menyemak waktu matahari terbenam, dan datang awal bagi memastikan anda mendapat tempat tinjau terbaik. 

Bermalam di Hakodate

Hari kedua ditamatkan dengan menginap di Hotel Cabin President yang betul-betul terletak di hadapan stesen keretapi Hakodate kerana ia menawarkan ruang parkir dan mempunyai buffet sarapan tradisi makanan laut yang popular di Hokkaido. Malah lokasi hotel ini juga tidak jauh dengan lokasi-lokasi menarik yang akan dituju pada keesokan hari dan harganya pula boleh dikatakan berbaloi dengan kemudahan yang diberikan. 

Pada malam tersebut, saya berkesempatan pergi ke stesen Hakodate yang menempatkan mercu tanda 0KM, dan berjalan-jalan disekitar kawasan tersebut dan melihat karekter Hakodate sebagai bandar pelabuhan. Walaupun ia bandar pelabuhan, saya jarang melihat trak kontena bagaikan di Klang. Hakodate pada malam hari boleh dikatakan tidak sunyi macam kampung, namun tidak meriah macam Tokyo.

Bersambung ke artikel hari seterusnya: Hari Ketiga – Dari Hakodate Menuju Perkampungan Onsen Jozankei.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd