Musim Panas Di Hokkaido: Hari Ketiga Menuju Pekan Onsen Jozankei
tekong
(Artikel ini merupakan salah satu artikel dalam siri ‘Musim Panas di Hokkaido’. Klik untuk artikel Hari Pertama, atau Hari Kedua)
Hari ketiga dimulakan dengan melawat pasar pagi Hakodate dimana pelbagai makanan laut dijual dan juga buah-buahan serta cenderamata. Saya berjalan kaki ke Kanemori Red Brick Warehouse dimana disini terdapatnya barisan kedai-kedai yang ditempatkan didalam bangunan yang menggunakan batu-bata merah yang wujud sejak 1869, dan dibangunkan semula pada tahun 1909. Didalam bangunan ini terdapat pelbagai pekedai menjual bermacam barangan dan tidak terhad kepada barangan tradisi sahaja.


Di sekitar Kanemori Red Brick Warehouse, anda juga boleh melihat pelbagai kapal, bot mewah dan kehidupan sekitar jeti dagangan dan terdapat juga aktiviti meronda dengan bot laju. Berlatarbelakangkan Bukit Hakodate, jika saya tidak mengejar masa, pasti seharian boleh berada disini.

Bersinggah di Tsutaya Hakodate
Selepas menuntut cenderahati Conan dari stesen Hakodate iaitu sampul plastik , saya menuju ke Jozankei, iaitu salah satu lokasi onsen yang popular di Jepun. Perjalanan sejauh 229KM ini saya teruskan menggunakan lebuhraya, namun sempat bersinggah di Tsutaya Hakodate yang sangat besar, menempatkan pelbagai buku, barangan dan juga produk gaya hidup.


Sangat berbeza dari Tsutaya Bukit Jalil, Tsutaya Hakodate mempunyai kedai ‘bundle’, menjual produk permainan seperti PlayStation & Nintendo Switch, terdapat ruang untuk bermain board game, terdapat juga ruang pameran gaya hidup dimana mereka turut meletakkan kereta lasak. Malah disini juga terdapat Tesla Supercharger untuk kegunaan kereta Tesla di Hokkaido.
Menuju Jozankei – Berehat di Yakumo R & R dan Kembali semula di Tasik Toya

Meneruskan perjalanan ke Jozankei, lebuhraya dari Hakodate ke Toya memberikan anda sudut pandang dari bukit bergunung-ganang. Ini kerana lebuhraya terletak lebih tinggi berbanding jalan persekutuan. Saya sempat berehat di Yakumo yang turut mempunyai taman tersendiri namun memandangkan saya mengejar masa, saya tidak sempat berjalan-jalan di taman tersebut.

Dalam perjalanan ke Jozankei, saya memilih untuk melalui semula tasik Toya dan telah singgah ke anjung tinjau Shikotsu Toya National Park Silo Observation Deck. Disini anda dapat melihat tasik Toya secara keseluruhan, dan anda boleh menyewa helikopter untuk melihat keseluruhan tasik ini. Terdapat juga aktiviti lasak yang lain yang boleh dilakukan, namun masa mencemburui keseluruhan perjalanan ini.


Salah satu perkara menarik yang saya temui disini adalah terdapatnya tripod percuma untuk digunakan oleh pelancong untuk menangkap gambar kenang-kenangan. Meskipun boleh digunakan sendiri, saya rasa ia disediakan oleh kedai berhampiran kerana terdapat waktu operasi tertera.
Tempat Berhimpun Peminat ‘Touge’ – Touge no Chaya / Nakayama Pass
Persinggahan seterusnya menuju Jozankei adalah kawasan rehat Nakayama Pass. Kawasan ini terletak di ketinggian 835m yang biasanya dilitupi salji pada musim sejuk, namun pada musim panas menjadi tempat persinggahan geng kereta. Saya singgah di tempat yang bernama Touge no Chaya yang kebetulan sedang menghimpunkan beberapa kereta kei car convertible dan namanya Touge adalah berasaskan aktiviti membawa kereta di kaki bukit.

Sekiranya anda datang ke sini pada waktu salji, anda mungkin tidak dibenarkan naik, atau terdapat pesanan mengenai bahaya jalan licin atau jalan tidak boleh dilalui kerana salji yang tebal. Ini adalah maklumat yang saya dapati menerusi perkongsian akaun Instagram Tougeno.chaya. Jadi buat anda yang merancang perjalanan musim salji, rancang sebaiknya.
Tiba di Pekan Onsen Jozankei

Saya tiba di Jozankei pada waktu petang dan telah memilih hotel Grand Blissen Jozankei kerana ia turut menyediakan kolam onsen dalam setiap bilik. Berhampiran dengan hotel ini juga adalah sungai Toyohira dan terdapat kolam mata air panas untuk pengunjung mencelup kaki. Sewaktu saya hadir, terdapat juga taman malam Jozankei Nature Luminaire dimana mereka menghiasi taman Jozankei dengan lampu LED dan acara ini biasanya diadakan pada musim panas.


Bersambung ke Hari Keempat – Menuju Sapporo, menyimpang ke Furano