Musim Panas Di Hokkaido: Hari Kelima Merempit Ke Otaru
tekong
(Artikel ini merupakan salah satu artikel dalam siri ‘Musim Panas di Hokkaido’. Klik untuk artikel Hari Pertama, atau Hari Keempat)

Setelah 4 hari memandu di bandar dan pekan-pekan Hokkaido, sengaja saya menyewa motor untuk tempoh 24 jam kerana ingin merasai pengalaman menunggang motosikal di Hokkaido. Saya menyewa skuter Yamaha X-Max yang sesuai untuk perjalanan jauh, dan juga mempunyai kapasiti enjin 250cc kerana sebarang motosikal dibawah kapasiti enjin 250cc, tidak dibenarkan masuk ke lebuhraya.
Namun begitu saya juga tidak menggunakan lebuhraya atas dasar kos kerana motosikal perlu membayar harga tol yang sama seperti kereta. Boleh dikatakan ini salah satu penyesalan saya kerana menggunakan jalan bandar yang mempunyai banyak lampu isyarat, menambah waktu perjalanan. Saya menyewa skuter X-Max dari Rental 819 yang terletak di terminal keretapi Sapporo, juga lokasi sama untuk pemulangan kereta Nissan Roox.
Merempit Ke Bandar Terusan Otaru
Perjalanan dimulakan terus ke bandar Otaru yang merupakan bandar terusan. Disini saya singgah untuk makan tengahari di Donburi Chaya Otaru. Mereka menyediakan menu halal Donburi, iaitu semangkuk nasi, dan saya telah memilih makanan laut sebagai lauk utama yang diletakkan atasnya. Kesemua makanan laut yang dihidangkan sangat segar, dan anda boleh rasa perbezaannya berbanding sashimi yang dihidangkan di Malaysia. Pada gambar diatas, adalah hirisan tuna, salmon, sotong, udang, isi ketam yang turut dihidang bersama sup miso. Pendek kata anda tidak akan bosan dengan makanan laut sepanjang berada di Hokkaido.

Seusai kenyang, saya telah pergi ke satu lokasi tumpuan ramai iaitu Otaru Music Box Museum. Muzium yang menempatkan kotak muzik ini merupakan lokasi jualan kotak muzik terbesar di Jepun. Anda boleh membeli kotak muzik yang sedia ada, atau melakukan kustomasi dimana anda boleh memilih lagu, kemudiannya memilih kotak muzik yang diinginkan serta memilih aksesori, barang hiasan bagi memberikan sentuhan tersendiri. Dari segi lagu, boleh dikatakan pelbagai lagu tersedia, termasuklah lagu-lagu dari siri anime.

Di Otaru, anda akan kerap mendengar bunyi loceng angin yang diletakkan merata tempat. Ini memberi alunan merdu mengikut angin, atau seolah menjerit pabila angin kencang menderu. Mungkin ia sinonim dengan bandar ini yang terkenal muzium kotak muziknya dan apabila jam tepat pada waktunya, terdapat loceng besar yang akan berbunyi, memberitahu seluruh penghuni pekan ini akan masuk waktunya.

Menuju Cape Kamui Menelusuri Jalan Pantai
Memandangkan hari hujan gerimis, saya sempat singgah ke Masjid Otaru sebelum meneruskan perjalanan ke Cape Kamui, iaitu salah satu tempat tumpuan pelancong yang percuma. Perjalanan dari Otaru ke Cape Kamui akan melalui jalan pantai yang sangat menenangkan, dan terdapat beberapa lokasi menarik yang anda boleh singgah untuk merasai pantai Jepun.

Setelah menunggang hampir sejam lamanya dengan bersinggah di beberapa ‘konbini’, akhirnya saya sampai sekitar jam 4 petang di Cape Kamui. Anda perlu meluangkan masa sekitar 40 minit untuk melengkapkan pergi dan balik dari kawasan parkir, ke tebing Cape Kamui bagi melihat keajaiban alam semulajadi. Dan kawasan ini mempunyai ruang jalan yang terhad, jadi jika anda hadir sewaktu musim tumpuan pelancong seperti minggu Golden Week, pasti anda akan berasa sesak. Di akhir tebing ini, anda akan dapat lihat rumah api Cape Kamui, dan juga arca batu semulajadi menghiasi Laut Jepun.


Melawat Pantai Shakotan – Bikunicho
Sewaktu perjalanan pulang, saya bersinggah di pantai Shakotan – Bikunicho hanya sekadar untuk mencelup kaki kerana laut tersebut sangat sejuk. Jika anda merancang untuk mandi di pantai ini, terdapat ruang persalinan dan ruang membasuh kaki. Malah dengan adanya kemudahan sebegini, ia juga menjadi tumpuan buat mereka yang membawa motorhome / campervan kerana ia sesuai dijadikan lokasi persinggahan sehingga malam hari.



Meneruskan perjalanan pulang, cuaca agak teruk namun saya membawa baju hujan dari Malaysia kerana tidak ingin menyewa baju hujan. Boleh saya katakan hujat lebat yang saya alami di Hokkaido adalah tidak seteruk hujan lebat di Kuala Lumpur. Ini kerana jaket Gore-tex yang saya pakai sepanjang perjalanan tidaklah terasa sebarang tembusan air namun jika di Kuala Lumpur, saya rasa selepas 20 minit jaket tersebut tidak dapat lagi menahan tembusan air, dan akan ada sedikit air meresap kedalam.

Malam tersebut saya berkesempatan pergi ke Ramen Horyu Sohonten di bandar Sapporo, yang juga menjadi persinggahan ramai rakyat Malaysia yang mencari ramen halal di bandar ini. Salah satu hidangan yang perlu dicuba adalah Jingisukan, iaitu kata pinjaman dari ‘Gengis Khan’ gelaran diberi untuk sebarang hidangan yang menggunakan kambing panggang. Jika anda selama ini kerap mencuba ramen ayam atau ramen daging, maka di Hokkaido cubalah ramen Jingisukan pabila berkesempatan.


Bersambung ke hari terakhir di Sapporo