(Artikel ini merupakan artikel terakhir dalam siri ‘Musim Panas di Hokkaido’. Klik untuk artikel Hari Pertama, atau Hari Kelima)
Saya mulakan hari ke-6 di Sapporo, iaitu hari terakhir untuk perjalanan di Hokkaido dengan memulangkan skuter X-Max di terminal Sapporo. Perlu diingatkan, sebelum memulangkan kenderaan, adalah elok kenderaan tersebut diisi penuh dengan petrol bagi mengelakkan sebarang caj tambahan. Bagi mengisi minyak, terdapat atendan pam minyak yang akan menolong anda jadi anda boleh menyatakan untuk isi penuh.
Sekitar Bandar Sapporo – JR Tower Observatory, Sapporo TV Tower, Sapporo Clock Tower

Selepas memulangkan skuter, saya tidak berjalan jauh ke JR Tower Observatory kerana disini terdapatnya bangunan JR, singkatan kepada Japan Rail, yang turut menempatkan anjung tinjau. Saya sampai sekitar 11 pagi dan petugas di kaunter turut memberitahu keadaan cuaca pada masa tersebut adalah tidak memuaskan. Terdapat juga siaran langsung pemandangan di anjung tinjau bagi memudahkan pelawat memahami situasi jadi saya tangguhkan sementara lawatan ke anjung tinjau, dan berjalan menuju ke Sapporo TV Tower.

Di tengah-tengah bandar Sapporo terdapatnya Odori Park, yang merupakan satu dataran yang penuh hiasan bunga, pokok, dan juga khemah aktiviti. Sekiranya anda hadir pada musim salji atau musim sakura, taman ini akan penuh dengan hiasan dan juga aktiviti, buatkan hadirin melepak dan bersinggah melihat alam semulajadi dicelah-celah kesibukan bandar Sapporo.

Jelas dari taman ini juga adalah menara Sapporo TV Tower yang dibina pada tahun 1957. Bayaran masuk yang dikenakan adalah 1200 yen, termasuklah tiket masuk ke Sapporo Clock Tower. Saya telah naik ke menara ini dan boleh dikatakan pemandangannya jauh berbeza dengan Tokyo Skytree, dimana anda mungkin melihat bandar Sapporo yang tidak sepadat dan sesibuk bandar Tokyo.

Selepas meninggalkan menara Sapporo TV Tower, saya bergegas ke Sapporo Clock Tower yang tidak jauh, namun mengambil masa 10 minit berjalan kaki. Di sini terdapatnya menara jam yang biasanya menjadi mercu tanda sesebuah bandar. Menara jam ini juga merupakan menara jam tertua di Jepun, yang dibina seawal 1878 dan jam tersebut dipasang pada Julai 1881. Di dalam bangunan ini terdapatnya pameran sejarah mengenai bangunan menara jam ini.

Menuju Tanuki Koji Dan Menyimpang Ke Hitsujigaoka
Destinasi seterusnya yang dituju adalah deretan pekedai Tanuki Koji. Disini terdapat pelbagai kedai yang menjual barangan dan juga cenderamata. Terdapat pelbagai kedai yang turut menawarkan barangan bebas cukai untuk pembelian melebihi 2,500 yen dan untuk melayakkan anda mendapatkannya, anda haruslah membawa pasport anda bersama untuk tujuan pengesahan.

Meneruskan perjalanan, saya menggunakan tram untuk pergi ke Mt Moiwa, iaitu salah satu anjung tinjau yang tinggi di bukit Moiwa. Namun keadaan cuaca yang teruk tidak membenarkan operasi kereta kabel. Justeru saya terus menempah teksi pergi ke salah satu lokasi yang sangat popular di Hokkaido iaitu Sapporo Hitsujigaoka Observation Hill.


Oleh kerana saya agak terlewat untuk hadir, dan hanya sampai disini 15 minit sebelum ia ditutup, saya hanya sempat melihat satu dataran yang sangat luas. Difahamkan, sekiranya datang lebih awal, terdapat haiwan ternakan yang meragut rumput. Namun disini juga terdapat satu mercu tanda penting dengan label ‘Boys, be Ambitious’ yang diucapkan oleh Professor William Smith Clark, yang juga merupakan penasihat Sapporo Agricultural College, yang kini dikenali sebagai Hokkaido University. Dari sudut pandang ini juga anda dapat melihat stadium Sapporo dan sebahagian dari bandar Sapporo.

Melihat Waktu Malam Sapporo di JR Tower Observatory
Kembalinya dari Hitsujigaoka, saya menggunakan keretapi yang juga berakhir di Terminal Sapporo. Kemudian dengan masa berbaki kurang dari 24 jam sebelum pulang, saya sempat pergi semula ke anjung tinjau JR Tower Observatory yang memberikan pandangan 360 darjah untuk kesemua bandar Sapporo.


Di menara ini, anda juga boleh melihat arah-arah tertentu yang ditandakan di bumbung bangunan dibawah. Anda dapat lihat sekiranya pemandangan anda menghala kearah pekan atau bandar seperti Otaru, Hokkaido University, Akarenga, Susukino dan bermacam lagi. Mungkin jika hari siang dan cerah anda akan dapat lihat lebih jauh, namun waktu malam akan menawarkan pemandangan senja yang juga cantik.
Boleh saya simpulkan dalam banyak-banyak percutian yang saya susun dan aturkan, Hokkaido merupakan salah satu destinasi yang menarik. Namun satu kekurangan adalah kerana lokasinya yang jauh antara satu sama lain, membuatkan anda berkejaran dan tidak mempunyai masa yang mencukupi. Saya sendiri merasakan yang lebih banyak masa digunakan untuk memandu, berbanding menghayati lokasi pelancongan.

Untuk percutian akan datang, saya merancang untuk bercuti di Hokkaido sewaktu musim salji, dan pergi bahagian yang lebih utara, seperti Wakkanai. Namun pada waktu tersebut juga, cuaca ekstrim bakal menjadi cabaran dan tiada motosikal untuk disewa bagi tujuan keselamatan. Dengan nukilan sebanyak 6 artikel berbeza ini, memberikan sedikit pendedahan berkenaan aktiviti yang boleh dilakukan di sekitar Hokkaido.
Senarai Lengkap Destinasi Yang Dituju Mengikut Hari:
- Jigokudani Hell Valley
- Oyunuma Lake
- Oyunuma Foot Bath
- Lake Toya
- Goryokaku
- Yunokawa Onsen / Hotel Hanabishi
- Cape Tachimachi
- Mt Hakodate Observation Deck
- Kanemori Red Brick Warehouse
- Tsutaya Hakodate
- Yakumo R & R
- Shikotsu Toya National Park – Observation Deck
- Touge no Chaya – Nakayama Pass
- Jozankei Luminarie (Hanya pada Musim Panas)
- Perkuburan Makomanai Takino
- Furano Cheese Factory
- Lavender Farm Nakafurano Hokuseiyama
- Tomita Farm
- Shirogane Blue Pond
- Biei Hills
- Otaru Canal
- Donburi Chaya Otaru
- Otaru Music Box Museum
- Cape Kamui
- Pantai Shakotan – Bikunicho
- Honryu Ramen
- JR Tower Observatory
- Sapporo TV Tower
- Sapporo Clock Tower
- Deretan Pekedai Tanuki Koji
- Hitsujigaoka Observation Hill