Selain eco-shop yang telahpun mengumumkan peningkatan harga barangan, Ninso nampaknya turut mengumumkan penyelarasan harga bagi semua cawangannya bermula 14 April 2025.
Langkah ini melibatkan perubahan harga daripada RM2.40 kepada RM2.60 bagi cawangan di Semenanjung Malaysia, manakala bagi cawangan di Sabah dan Sarawak, harga akan diselaraskan daripada RM2.60 kepada RM2.80.

Menurut pihak Ninso, keputusan ini dibuat bagi memastikan kelangsungan operasi dan untuk terus menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga yang masih berpatutan. Dalam usaha memperkukuh kehadirannya di pasaran, Ninso juga akan terus memperluaskan rangkaiannya ke lebih banyak lokasi di seluruh negara agar lebih ramai pelanggan dapat menikmati pilihan barangan dengan harga yang berpatutan.
Penyelarasan harga ini merupakan sebahagian daripada langkah strategik syarikat dalam menyesuaikan diri dengan perubahan kos operasi dan rantaian bekalan. Walaupun berlaku sedikit peningkatan harga, Ninso menegaskan bahawa komitmen mereka terhadap nilai dan aksesibiliti produk tetap menjadi keutamaan.
Pelanggan yang setia menyokong Ninso diingatkan bahawa perubahan harga ini akan berkuat kuasa pada pertengahan April, dan syarikat amat menghargai pemahaman serta sokongan mereka dalam memastikan perniagaan dapat terus beroperasi secara mampan.