Smart #5 Kini Secara Rasmi Dilancarkan Pada Harga Bermula RM199,800
Lina Rosli
Smart Malaysia kini secara rasminya memperkenalkan Smart #5 kepada pasaran tempatan.
Selepas kejayaan pengenalan Smart #1 dan Smart #3 sebelum ini, nampaknya jenama automotif ini hadir dengan satu lagi model EV urban premium yang lebih mewah dan lebih berteknologi – ditawarkan pada harga bermula RMxxx,xxx.
Untuk pengetahuan anda, Smart #5 ini hadir dalam dua varian utama iaitu Premium dan Brabus, yang mana masing-masing menawarkan keseimbangan antara keselesaan, prestasi serta teknologi canggih yang disesuaikan dengan gaya hidup pemandu masa kini.


Smart #5 hadir dengan reka bentuk futuristik yang menonjolkan gril tertutup, lampu LED nipis serta profil badan aerodinamik yang memberi imej moden dan elegan.
Pada bahagian belakang pula, Smart #5 dilengkapi dengan lampu LED merah yang membentuk jalur cahaya memanjang, sekaligus menonjolkan rupa yang lebih lebar dan kemas.
Dari segi prestasi, Smart #5 dibina menggunakan platform elektrik generasi baharu yang menawarkan tindak balas motor lebih pantas, pilihan bateri dengan jarak perjalanan lebih jauh serta sokongan pengecasan pantas DC yang membolehkan bateri diisi dari 10% hingga 80% dalam masa yang singkat.
Kedua-dua varian Premium dan Brabus dilengkapi dengan bateri berkapasiti 100kWh, membolehkan pengecasan daripada 10% ke 80% diselesaikan hanya dalam masa 15 minit.
Dari segi jarak perjalanan, Smart #5 mampu bergerak sejauh 590km (WLTP) dengan sekali pengecasan penuh, menjadikannya salah satu EV dalam kelasnya yang menawarkan jarak praktikal untuk pemanduan harian mahupun perjalanan jauh.


Ia direka untuk memberikan keseimbangan antara kuasa, kecekapan tenaga dan keselesaan pemanduan harian, sekaligus menjadikannya pilihan EV yang praktikal untuk kegunaan bandar atau perjalanan jarak jauh.
Untuk varian Brabus, fokusnya lebih kepada prestasi. Ia mampu memecut dari 0 ke 100km/j hanya dalam masa 3.8 saat, dengan kuasa sehingga 475kW serta 750Nm tork.
Sistem pacuan juga membolehkan pertukaran daripada RWD kepada AWD dalam masa hanya 50 milisaat, sesuatu yang memberi kelebihan dari aspek kawalan dan pemanduan berprestasi tinggi.

Ruang kabin pula mengekalkan konsep minimalis tetapi premium, dengan paparan inforia bersaiz besar yang dipadankan bersama sambungan tanpa wayar untuk Android Auto dan Apple CarPlay.
Material dalaman yang digunakan juga telah dipertingkat bagi memberi suasana lebih mewah, sementara tempat duduk ergonomik dengan pelbagai tetapan elektronik menambah keselesaan kepada pemandu serta penumpang.
Menurut jenama ini juga, Smart #5 dilengkapi dengan kulit Nappa berkualiti tinggi serta menampilkan kemasan kayu asli (Real Wood) pada papan pemuka, sekaligus memberikan suasana mewah dan eksklusif.
Antara ciri menarik yang diperkenalkan ialah Rear Seat Comfort Zone, diaktifkan melalui BOSS Button yang membolehkan kerusi belakang direbahkan sehingga 10%, lengkap dengan fungsi pemanas.


Sistem bantuan pemanduan pintar (ADAS) generasi baharu turut disertakan untuk memastikan perjalanan lebih selamat, termasuk kamera 360°, amaran pelanggaran serta pelbagai ciri pemanduan separa autonomi.
Untuk Smart #5, model ini turut memperkenalkan pilihan warna baharu iaitu Saturn Beige + Eclipse Black dan juga Pulsar Ruby + Eclipse Black.


Bagi yang berminat, Smart #5 kini boleh mula ditempah di semua pusat jualan Smart di Malaysia pada harga bermula RM199,800 untuk model Premium dan RM249,800 untuk varian Brabus yang mana ia terhad untuk 300 pelanggan terawal – dengan pilihan pakej waranti dan servis selepas jualan yang lebih komprehensif.
Setiap pembelian didatangkan dengan pakej pemilikan menyeluruh (All-Inclusive Ownership), termasuk pengecas dinding dan penyesuai V2L percuma, di samping waranti komprehensif yang menarik, merangkumi jaminan bateri voltan tinggi selama 8 tahun atau 200,000 km, dan waranti kenderaan selama 4 tahun dengan perbatuan tanpa had.

Dengan gabungan reka bentuk moden, teknologi pintar serta prestasi yang dipertingkat, Smart #5 dijangka menjadi antara model EV yang menarik perhatian ramai di pasaran tempatan.
Baca: Pandang Pertama Smart #5 – Menampilkan Gabungan Gaya, Kuasa Dan Teknologi