Ini 8 Beg Tangan Paling Unik Dari Jenama Mewah – Diinspirasikan Daripada Objek Harian
Lina Rosli
Baru-baru ini di media sosial, seorang aktres dari China yang menghadiri sebuah acara karpet merah Beijing International Film Festival baru-baru telah mencuri perhatian ramai di media sosial.
Selain penampilannya yang elegan, satu aksesori yang dibawanya turut menjadi topik perbualan – sebuah beg yang kelihatan seperti beg plastik biasa.

Dalam acara tersebut, aktres berkenaan tampil dengan gaun hitam panjang bergaya klasik yang dihiasi perincian bunga 3D pada bahagian bahu. Rekaan yang kemas di bahagian atas dan sedikit kembang di bahagian bawah memberikan siluet yang anggun serta feminin.
Namun, elemen paling menarik perhatian pada penampilan tersebut ialah beg plastik lutsinar yang dibawanya ketika berjalan di karpet merah.

Pada awalnya, ramai menyangka beg tersebut merupakan rekaan daripada Balenciaga yang terkenal dengan aksesori berkonsepkan luar biasa. Jenama tersebut sebelum ini pernah menghasilkan beg yang menyerupai beg sampah menerusi rekaan Trash Bag Large Pouch yang diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi dan dijual sekitar AS$1,790 (sekitar RM8,400).
Walaupun beg yang dibawa Zhang Jingyi sebenarnya bukan rekaan tersebut, persamaan konsepnya tetap mencetuskan perbincangan dalam kalangan peminat fesyen.

Ini Antara Beg Tangan Paling Unik Dari Jenama Mewah
Sebenarnya, fenomena beg dengan reka bentuk unik sebenarnya bukan perkara baharu dalam dunia fesyen mewah. Banyak rumah fesyen antarabangsa kini menampilkan produk yang diinspirasikan daripada objek harian, tetapi diolah menjadi aksesori eksklusif dengan harga yang tinggi.
Salah satu contoh yang pernah menjadi tular ialah Trash Pouch oleh Balenciaga yang diperkenalkan sewaktu pertunjukan Paris Fashion Week Balenciaga pada Mac 2022 menerusi akaun Instagram selebriti global terkenal Kim Kardashion.
Menurut Kim, ia merupakan beg sampah paling mahal yang pernah diterimanya yang mana ia dijual pada nilai AS$1,790 iaitu sekitar RM7,977.85.

Selain daripada jenama Balenciaga, beg Pigeon Clutch daripada JW Anderson turut pernah menjadi sensasi di internet. Beg ini direka menyerupai seekor burung merpati yang sedang bertenggek di tangan, diperbuat daripada resin keras dengan zip tersembunyi di bahagian belakangnya.
Harganya pula melebihi AS$1,000 (sekitar RM4,700), menjadikannya antara aksesori fesyen paling unik pernah dihasilkan. Selain burung merpati ini, antara rekaan lain yang turut dihasilkan adalah katak, landak dan banyak lagi.



Dalam kategori yang sama, Louis Vuitton pernah melancarkan Paint Can Bag yang direka menyerupai tin cat lengkap dengan pemegang dan tali bahu.
Beg ini diperkenalkan oleh mendiang pereka kreatif Virgil Abloh dan dijual sekitar AS$2,000 hingga AS$2,500 (sekitar RM9,300 hingga RM11,700).

Rekaan lain yang turut mencetuskan perbincangan ialah Brown Bag daripada Bottega Veneta yang kelihatan seperti beg kertas membeli-belah biasa.
Walaupun tampil dengan rupa minimalis seperti beg kertas, ia sebenarnya diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi dengan lapisan suede di bahagian dalam, menjadikannya produk mewah bernilai ribuan dolar.

Jenama Moschino pula terkenal dengan pendekatan lebih humor dalam reka bentuk fesyen. Antara produknya ialah Orange Juice Carton Bag, beg berbentuk kotak jus oren lengkap dengan penutup skru di bahagian atas.
Walaupun kelihatan seperti mainan, aksesori ini masih dijual pada harga lebih AS$1,000 (sekitar RM4,700).

Sementara itu, Saint Laurent pernah menghasilkan Take-Away Box Bag yang menyerupai kotak makanan bungkus.
Beg ini diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi dengan kemasan berkilat dan dijual sekitar AS$1,890 (sekitar RM8,900) ketika diperkenalkan.

Tidak ketinggalan, Fendi turut menawarkan model Fendigraphy Mini yang menampilkan bentuk unik seakan segi tiga, mengingatkan kepada rupa onigiri.
Di laman rasmi Fendi Malaysia, model ini dijual sekitar RM9,600.

Selain itu, jenama Cult Gaia turut pernah memperkenalkan Grape Clutch – beg tangan yang direka menyerupai seikat buah anggur.
Ia diperbuat daripada resin keras dengan perincian tangkai berwarna emas yang berfungsi sebagai pemegang. Beg ini dijual sekitar AS$585 (sekitar RM2,700) di platform fesyen antarabangsa.

Trend ini menunjukkan bagaimana rumah fesyen kini semakin kreatif dalam mengubah objek harian menjadi produk mewah. Walaupun ada yang kelihatan pelik atau tidak praktikal, reka bentuk sebegini sering berjaya mencuri perhatian dan menjadi perbualan hangat di media sosial.
Sama seperti yang berlaku apabila aktres China berkenaan, apabila beliau muncul di karpet merah, walaupun beg plastik yang dibawa kelihatan sederhana, tetapi cukup untuk mencetuskan fenomena dalam dunia fesyen.