ZUS Coffee Menganjurkan Watch Party Bola Sepak Di Empat Lokasi Terpilih

July 15, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Selain IKEA Damansara, nampaknya, ZUS Coffee turut tidak ketinggalan mengajak peminat bola sepak berkumpul untuk menyaksikan aksi separuh akhir dan permainan akhir acara bola sepak terkemuka dunia menerusi Watch Party yang diadakan di beberapa cawangan terpilih di seluruh negara.

Watch Party bagi perlawanan separuh akhir akan berlangsung pada 15 Julai dan 16 Julai di cawangan Decathlon Shah Alam bermula 3.00 pagi hingga 5.00 pagi.

Sementara itu, perlawanan akhir pada 20 Julai turut akan disiarkan pada waktu yang sama di empat lokasi iaitu:

  • Decathlon Shah Alam, Selangor
  • Petron Ukay Perdana, Selangor
  • Dataran Segar Lukut, Negeri Sembilan
  • Garden Square, Setia Eco Garden, Gelang Patah, Johor

Selain menyediakan skrin untuk siaran langsung perlawanan, ZUS Coffee turut memperkenalkan kempen Kick-Off Right with ZUS: 90 minutes, 1 cup?.

Dengan ini, ia membolehkan pelanggan menikmati secawan kopi sambil berjaga sehingga tamat perlawanan yang berlangsung pada awal pagi.

Bukan itu sahaja, ZUS Coffee turut menawarkan peluang kepada pengunjung untuk menyertai cabutan bertuah yang akan berlangsung ketika separuh masa dan selepas tamat perlawanan.

Untuk menyertainya, pelanggan hanya perlu membuat pembelian secara walk-in bagi mana-mana minuman terpilih. Selepas pembayaran dibuat, pelanggan akan menerima kad nombor cabutan bertuah bersama minuman yang dibeli.

Keratan nombor tersebut kemudian dimasukkan ke dalam kotak cabutan yang disediakan sebelum menunggu pengumuman pemenang.

Antara hadiah yang ditawarkan termasuk barangan rasmi ZUS Coffee edisi terhad seperti merchandise bertemakan bola sepak serta maskot kucing ikonik jenama itu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd